SEATTLE: Selepas memulakan kempen dengan kemenangan bergaya, Amerika Syarikat (AS) dan Australia kini bersedia berentap bagi menentukan siapa paling layak menduduki tangga teratas Kumpulan D di Stadium Seattle, esok.
Kedua-dua pasukan mengutip tiga mata dalam aksi pembukaan, namun cara mereka meraih kemenangan cukup berbeza.
Amerika Syarikat mempamerkan kekuatan menyerang apabila membelasah Paraguay 4-1, manakala Australia pula memanfaatkan disiplin taktikal tinggi untuk mengejutkan Turkiye 2-0.
Bagi Amerika Syarikat, kemenangan besar ke atas Paraguay meningkatkan keyakinan bahawa mereka mampu melangkah jauh di hadapan penyokong sendiri namun pengendalinya, Mauricio Pochettino enggan melihat keputusan tersebut sebagai jaminan kejayaan seterusnya.
“Australia menunjukkan mereka sebuah pasukan yang tersusun dan sukar ditewaskan. Mereka mempunyai identiti yang jelas dan tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang.
“Kami perlu bermain dengan tahap tenaga yang sama seperti perlawanan pertama dan terus menunjukkan mentaliti untuk menang,” katanya.
Ketua jurulatih Australia, Tony Popovic percaya pasukannya perlu mengekalkan disiplin yang sama jika mahu membawa pulang mata daripada perlawanan tersebut.
“Amerika Syarikat mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah dan mereka bermain dengan penuh keyakinan ketika ini.
“Tetapi kami juga telah menunjukkan kemampuan kami. Jika kami kekal berdisiplin dan berani apabila menguasai bola, kami mempunyai peluang untuk mendapatkan keputusan yang positif,” ujarnya.-AGENSI










