NEWCASTLE: Peluang West Ham United untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) makin tipis selepas tumpas 3-1 kepada Newcastle United, semalam.
Kekalahan di St. James Park itu menyaksikan West Ham kekal dua mata di bawah zon selamat dengan hanya satu perlawanan berbaki pada musim ini.
Jika Tottenham Berjaya menewaskan Chelsea, ia akan mengesahkan penyingkiran West Ham lima hari sebelum mereka melayan kunjungan Leeds United.
Malah, kelebihan jaringan besar Spurs bermakna satu keputusan seri dalam baki dua perlawanan mereka sudah cukup untuk menghukum kelab London itu.
Pengendali West Ham, Nuno Espirito Santo berkata, kekalahan itu kepada Newcastle menyukarkan misi pasukannya untuk kekal beraksi di EPL musim depan.
“Kami kena tunggu sehingga Selasa, tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini kami berada dalam situasi yang kurang baik kerana gagal kutip mata.
“Sebelum ini, kami ada peluang untuk keluar dari zon bahaya tetapi gagal mengambilnya. Kemudian kami terpaksa berharap kepada keputusan pasukan lain.
“Situasi ini menyukarkan kami, peluang tetap ada, tetapi sangat sukar berharap kepada pasukan lain membantu kami untuk kekal,” kata Nuno.
Keputusan Nuno menggunakan formasi tiga pertahanan memakan diri apabila Newcastle mendahului 2-0 dalam tempoh 19 minit pertama sehingga memaksanya menukar taktikal.
“Kami berada dalam keadaan sukar kerana melepaskan dua gol awal, tetapi permainan belum berakhir. Kami cuba bangkit, namun cara kami bolos sangat lemah. Walaupun kami cuba memberi reaksi, ia tidak mencukupi,” katanya.
Selepas wisel penamat, penyokong West Ham jelas kecewa dan melepaskan kemarahan terhadap pemain. – AGENSI/UTUSAN










