United ikat Carrick tiga tahun?

United ikat Carrick tiga tahun?

Michael Carrick
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Manchester United dilaporkan mencapai persetujuan dengan pengendali sementara, Michael Carrick untuk dilantik sebagai pengurus tetap kelab itu dengan tawaran kontrak lumayan selama tiga tahun.

Bekas perancang tengah United itu kembali ke Old Trafford pada Januari lalu dan berjaya mengembalikan semula prestasi United selepas melalui enam bulan penuh bergelora di bawah bekas pengendali, Ruben Amorim.

Ketika legenda kelab itu mengambil alih pasukan, United berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum beliau berjaya mengubah nasib pasukan dengan melonjak ke kedudukan ketiga liga ketika ini.

Bekas pengendali Middlesbrough FC itu turut mendapat sokongan besar daripada pemain, penyokong, pengulas bola sepak serta legenda United yang percaya beliau layak diberikan kontrak tetap di Old Trafford.

Menurut laporan The Athletic, pengurusan tertinggi The Red Devils turut berkongsi pandangan sama apabila mereka dikatakan sudah mencapai persetujuan secara umum bersama Carrick.

Difahamkan, rundingan kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan semusim lagi sedang berlangsung dan dijangka dimuktamadkan sebelum penghujung minggu ini.

“Tidak banyak yang boleh saya katakan. Masa depan saya akan diputuskan tidak lama lagi. Kami memang tahu perkara itu hanya akan ditentukan menjelang penghujung musim.

“Tiada perubahan besar mengenai situasi itu dan apa sahaja keputusan selepas ini sudah semakin hampir,” kata Carrick kepada pemberita menjelang aksi menentang Nottingham Forest, malam ini.

Carrick sebelum ini meninggalkan Middlesbrough FC pada 2025 selepas gagal membawa kelab itu ke Liga Perdana Inggeris.

Namun bersama United, beliau dilihat berjaya menjadi figura penyatu dan penstabil pasukan selepas era bergelora di bawah Amorim.

Sepanjang 12 tahun bersama United sebagai pemain, Carrick memenangi pelbagai trofi termasuk Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga.

“Ia sebuah kelab yang unik dan istimewa. Saya amat bangga dapat kembali membantu kelab ini. Sebagai penyokong dan bekas pemain, saya mahu membantu membawa United kembali ke arah yang lebih baik,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN