Tang Jie-Ee Wei sedar jadi sasaran utama

Tang Jie-Ee Wei sedar jadi sasaran utama

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menundukkan rakan senegara yang juga gandingan profesional baharu negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing 21-14, 21-19 dalam Terbuka Singapura, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui mereka kini berdepan tekanan berbeza sebagai pasangan kelompok lima terbaik dunia selepas memulakan kempen Terbuka Singapura dengan kemenangan meyakinkan, semalam.

Pasangan No.4 dunia itu menundukkan rakan senegara yang juga gandingan profesional baharu negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing 21-14, 21-19 dalam masa 34 minit pada aksi pusingan pertama di Stadium Tertutup Singapura.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan tersebut, Ee Wei mengingatkan bahawa status sebagai pasangan ranking 10 terbaik dunia menjadikan mereka kini sasaran utama pencabar lain yang turun tanpa tekanan.

“Saya rasa bila sudah berada dalam kelompok atas, pasangan bawah ini semuanya mahu kejar kita dan mereka bermain tanpa tekanan.

“Dulu kami yang mengejar orang tetapi sekarang situasi itu berubah sebab semua mahu menewaskan pasangan ranking atas,” kata Ee Wei.

Tang Jie pula menegaskan fokus utamanya ketika ini bukan lagi sekadar soal taktikal sebaliknya memperbaiki aspek mental dan cara menghadapi tekanan dalam gelanggang.

“Saya rasa sekarang ini lebih kepada macam mana saya sendiri bersedia dari segi mentaliti dan bagaimana mahu tampil lebih agresif ketika perlawanan.

“Bukan sebab pasangan, bukan sebab latihan atau jurulatih tetapi lebih kepada bagaimana saya sendiri mahu bersedia untuk setiap perlawanan,” katanya.

Kemenangan itu juga dianggap penting buat Tang Jie-Ee Wei selepas mereka menerima kecaman susulan aksi hambar pada suku akhir Masters Malaysia minggu lalu.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, juara bertahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan adik-beradik Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-17, 21-15 dalam tempoh 37 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN