LONDON: Liverpool berisiko terlepas slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas dibelasah Aston Villa 4-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool jatuh ke tangga kelima dan kini berisiko dipintas pasukan tangga keenam Brighton, sekali gus boleh menyebabkan mereka terlepas tiket ke UCL.
Kedudukan Arne Slot mula menjadi perhatian sejak beberapa minggu lalu, namun sebelum kekalahan kepada Villa, beliau menegaskan sedang membuat perancangan musim depan bersama pemilik kelab.
“Ia bukan mengenai saya, tetapi mengenai kekecewaan kami terhadap keputusan ini. Saya sudah bercakap mengenainya (masa depan beliau) semalam dan itu sudah mencukupi.
“Fokus kami sekarang adalah aksi menentang Brentford (minggu depan) dan memastikan kami mendapat sokongan penyokong dengan memulakan permainan secara agresif dan baik.
“Gabungan sokongan peminat serta prestasi baik akan membawa kami mencapai apa yang kami mahukan iaitu layak ke Liga Juara-Juara,” kata Slot.
Villa meledak empat gol dan hampir menambah jaringan ketika mereka membolosi pertahanan Liverpool dengan mudah sepanjang perlawanan.
Slot mengakui situasi itu amat membimbangkan dan sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Kami bolos terlalu banyak gol musim ini dan sukar untuk dipercayai kecuali anda sendiri mengalaminya seperti hari ini. Villa adalah pasukan yang lebih baik dan permainan terlepas daripada kawalan kami.
“Ia bukan mengenai saya atau sejauh mana kecewanya saya, tetapi semua pihak kecewa – pemain, staf dan sudah tentu penyokong.
“Dalam bola sepak anda boleh tergelincir (Dominik Szoboszlai ketika gol kedua Villa), tetapi ia amat malang. Kami tahu apa yang perlu dilakukan minggu depan,” katanya.- AGENSI










