PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) perlu berwaspada dengan ancaman penyerang Nam Dinh FC, Nguyen Xuan Son dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid menegaskan, skuad Gergasi Merah tidak boleh memberi ruang kepada jentera serangan lawan yang diketuai Xuan Son, yang disifatkan mampu menjadi pemusnah jika tidak dikawal rapi.
“Nam Dinh mempunyai kekuatan tersendiri dengan gabungan pemain kebangsaan Vietnam dan pemain naturalisasi yang berkualiti. Fokus utama kita adalah memastikan Xuan Son tidak diberi kebebasan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, barisan kejurulatihan yang diketuai Kim Pan Gon telah merangka pelan taktikal khusus bagi menyaingi kekuatan tengah lawan, yang menjadi nadi utama kepada gerakan serangan Nam Dinh.
“Perancangan taktikal sudah disusun rapi. Kita perlu menang di gelanggang sendiri dan gunakan kelebihan ini sebaik mungkin sebelum aksi timbal balik pada 13 Mei nanti,” jelasnya.
Selangor FC turut meletakkan sasaran tinggi untuk mara ke pentas final buat julung kali, sebagai hadiah kepada penyokong setia serta pemegang taruh kelab.
Sementara itu, Pan Gon menegaskan pendekatan menyerang akan kekal menjadi identiti pasukannya ketika berdepan Nam Dinh untuk memastikan tiket final menjadi milik Gergasi Merah.
Pan Gon berkata, beliau melihat pemainnya kini berada dalam keadaan terbaik dari segi mental dan keyakinan, terutama dalam menterjemahkan corak permainan menyerang yang menjadi DNA pasukan.
“Saya fikir selepas ini memang penting dan kemenangan ini bagus untuk menunjukkan kesungguhan pasukan. Karektor menyerang khususnya di depan penyokong sendiri, di mana kami berjaya meraih tiga gol awal, jelas menunjukkan DNA pasukan,” katanya.
Nam Định dijangka turun dengan kekuatan penuh, termasuk bintang utama mereka, Xuan Son, yang berisiko menjadi ancaman utama di bahagian serangan.-UTUSAN










