PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon menyifatkan kejayaan skuad Gergasi Merah melangkah ke perlawanan akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026 sebagai ‘hadiah terbesar’ daripada anak buahnya musim ini.
Selangor FC melangkah bergaya ke pentas final selepas menyingkirkan wakil Vietnam, Nam Dinh 2-0 Stadium Thien Truong sekali gus menang agregat akhir 4-1.
Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong, Selangor menang 2-0 hasil dua jaringan penyerang berbisa, Chrigor Moraes pada minit ke-40 dan 90, sekali gus mengesahkan tempat ke final dengan penuh bergaya.
“Ini hadiah yang sangat besar daripada pemain. Dari awal saya datang, kami cuba bina DNA dan karakter permainan sendiri.
“Kami mula merasai DNA Selangor ini. Pasukan yang menyerang, mantap dan berpasukan. Itu yang paling membanggakan,” katanya lagi.
Buriram mara ke final selepas menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan agregat 4-3, sekali gus menjanjikan pertembungan berintensiti tinggi antara dua gergasi rantau ASEAN.
Namun Pan Gon menegaskan, Selangor tidak gentar dan bersedia memberi cabaran kepada mana-mana lawan di pentas final.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Chrigor menegaskan kejayaan ke final adalah hasil kerja keras seluruh pasukan, bukan individu semata-mata.
“Kami berjuang setiap hari dalam latihan. Jaringan ini penting untuk saya, tetapi lebih penting kami layak ke final,” katanya.
“Ya, itu memang impian kami untuk muncul juara. Kami percaya dan masih ada beberapa hari lagi untuk bekerja lebih keras sebelum perlawanan seterusnya,” katanya selepas tamat perlawanan.
Selangor bakal berdepan ujian lebih getir apabila bakal menentang juara bertahan, Buriram United dalam final timbal balik yang dijadualkan pada 20 dan 27 Mei ini. – UTUSAN










