Tabinas selamatkan Selangor

Tabinas selamatkan Selangor

Pertahanan Melaka, Shinhoo Kim mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada perlawanan Liga Super 2026/2027 antara Selangor dan Melaka, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini hari ini.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jefferson Tabinas muncul wira Selangor apabila golnya pada masa kecederaan memastikan Gergasi Merah menundukkan Melaka FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan dramatik itu membolehkan Selangor terus mengekori dua pasukan teratas, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City, selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut.

Turun dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Kelantan Red Warrior FC dan Terengganu FC dalam dua aksi terdahulu, anak buah Kim Pan-gon tampil agresif sejak wisel permulaan dan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.

Hanya 11 minit diperlukan Selangor untuk memecah kebuntuan apabila Chrigor Moraes menanduk masuk sepakan penjuru yang dilakukan Tabinas bagi meletakkan tuan rumah di depan.

Selangor terus mengasak untuk menggandakan kelebihan, namun percubaan Kay Tejan pada minit ke-27 yang dilakukan dari dalam kotak penalti sekadar melewati sebelah kiri pintu gol Melaka.

Situasi Selangor menjadi lebih sukar apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Tejan dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama susulan semakan VAR.

Tuan Mohamad Yaasin Tuan Mohd Hanafiah membuat keputusan itu selepas kaki Tejan terkena kepala Shinhoo Kim ketika cuba melakukan sepakan gunting di hadapan pintu gol Melaka.

Kekurangan seorang pemain tidak menghalang Selangor daripada menambah derita Melaka apabila Moraes sekali lagi mencetak gol pada minit ke-51. Penyerang itu bijak memperdaya Khairul Fahmi Che Mat sebelum melakukan penyudah tenang untuk gol kedua.

Melaka bagaimanapun enggan mengalah dan kembali mencetuskan kebangkitan apabila Syahir Rashid meledak menerusi rembatan jarak jauh pada minit ke-59 sebelum pemain gantian Do Donghyun menyamakan kedudukan pada minit ke-75.

Drama semakin memuncak apabila Selangor memperoleh sepakan penalti pada minit ke-87, namun Moraes gagal memanfaatkannya selepas sepakannya sekadar menggegar palang.

Ketika aksi seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Tabinas tampil mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Selangor.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor kini berkongsi sembilan mata bersama Kuching City, manakala JDT kekal di puncak dengan kelebihan tiga mata selepas beraksi empat perlawanan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×