BANGKOK: Pengendali Selangor FC, Kim Pan Gon, menegaskan anak buahnya akan turun dengan pendekatan menyerang habis-habisan pada aksi final kedua Kejuaraan Kelab ASEAN(ACC) 2026 menentang Buriram United di Stadium Chang Arena, malam ini.
Pan Gon berkata, perlawanan masih belum berakhir dan pasukannya mempunyai 90 minit untuk mengubah nasib, selain menuntut pemain lebih tenang serta memperbaiki beberapa aspek taktikal yang dikenal pasti.
“Kami masih ada 90 minit lagi dan segala-galanya boleh berlaku. Kami perlu kekal kukuh, pulih dengan baik dan memperbetulkan beberapa perkara.
“Saya lihat keyakinan pemain semakin meningkat,” katanya semalam menjelang aksi timbal balik di Stadium Chang Arena, hari ini.
Selangor sebelum ini hampir menyamakan kedudukan dalam aksi pertama, namun percubaan Noor Al-Rawabdeh dan Hugo Boumous hanya singgah di tiang gol, sekali gus menyaksikan mereka tewas buat kali pertama dalam kempen musim ini.
Kekalahan itu juga merupakan hanya kekalahan kedua Selangor dalam 22 perlawanan sejak Kim mengambil alih tugas jurulatih pada Januari lalu, selain kali ketiga pasukan itu gagal menjaringkan gol di bawah kendaliannya.
Kim menegaskan, beliau tidak menyesali keputusan pada aksi pertama, sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan pasukan menjelang aksi timbal balik.
“Saya tiada penyesalan. Kami perlu bergerak ke hadapan dan memperbaiki kelemahan dari sudut teknikal serta taktikal. Kami akan membuat persiapan secara profesional,” jelasnya.
Selangor kini ketinggalan 0-1 secara agregat selepas tewas pada aksi pertama di Stadium MBPJ minggu lalu, hasil jaringan tandukan Suphanat Mueanta pada minit ke-25.
Skuad Gergasi Merah bakal turun dengan misi memburu gol awal bagi memastikan peluang merebut kejuaraan masih terbuka. – UTUSAN










