Reformasi pengadilan Liga M diperhalusi

Reformasi pengadilan Liga M diperhalusi

PENGADIL melihat skrin pada perlawanan latihan pengadil VAR pada sesi simulasi VAR Liga Malaysia- GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terus komited bagi memperkukuh standard Liga Malaysia (Liga M) dan akan membawa cadangan penubuhan badan pengadil bebas melibatkan pengadil profesional kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk pertimbangan lanjut.

Cadangan itu merupakan antara perkara utama yang dibangkitkan dalam sesi meja bulat bersama MFL dan wakil 13 kelab yang berlangsung Rabu lalu, sekali gus mencerminkan kesungguhan semua pihak dalam meningkatkan mutu pengadilan liga.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya memandang serius setiap pandangan yang dikemukakan oleh rakan kongsi liga demi memastikan kualiti pertandingan terus dipertingkat.

Katanya, penubuhan badan pengadil bebas dilihat sebagai satu langkah progresif yang mampu membawa perubahan positif kepada ekosistem bola sepak tempatan.

“Sudah pasti bagi pihak MFL, kita menyokong apa sahaja usaha untuk meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia jadi kita akan berhubung dengan FAM untuk menyampaikan suara rakan kongsi liga ini.

“MFL sentiasa mencari jalan penambahbaikan kualiti pengadilan, kerana itu MFL membuat pelaburan besar untuk melaksanakan penggunaan VAR semua perlawanan yang juga selari dengan tuntutan bola sepak moden ketika ini,” katanya.

Pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam semua perlawanan Liga Malaysia dilihat sebagai bukti kesungguhan MFL dalam memastikan keputusan perlawanan lebih tepat dan telus.

Langkah tersebut bukan sahaja meningkatkan kredibiliti pengadilan, malah membantu mengurangkan kontroversi yang sering timbul dalam perlawanan kompetitif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN