LEIPZIG: Jaringan tunggal Jean-Philippe Mateta mengesahkan kemenangan Crystal Palace ke atas Rayo Vallecano dalam final Liga Konferens, kelmarin untuk menghadiahkan trofi Eropah pertama dalam sejarah kelab itu.
Selepas babak pertama yang berhati-hati dan kurang peluang, Mateta menyempurnakan bola muntah pada minit ke-51 untuk jaringan tunggal perlawanan, sekali gus memberikan perpisahan bergaya buat Oliver Glasner yang bakal meninggalkan kelab.
Glasner meninggalkan Palace dengan tiga trofi dalam tempoh dua tahun sebagai pengurus, era paling berjaya dalam sejarah kelab, sambil memusnahkan impian Rayo untuk meraih trofi utama pertama mereka.
“Perbezaan yang dibawa olehnya (Glasner) dalam tempoh dua setengah tahun ini memang luar biasa. Tiga trofi, yang pertama dalam sejarah kelab, penyertaan pertama di kejohanan Eropah dan terus memenanginya.
“Dia pasti salah seorang pengurus terbaik yang pernah dimiliki Palace dan dia telah mengubah sepenuhnya cara kelab melihat pertandingan sekarang sebab kami turun untuk menang,” kata pemain tengah Palace, Adam Wharton kepada TNT Sports.
Kemenangan itu juga melengkapkan sasaran Glasner untuk membawa Palace kembali ke Piala Europa, kejohanan yang mereka layak sertai musim ini sebelum dikenakan tindakan akibat peraturan pemilikan berbilang kelab dan diturunkan ke Liga Konference.
Jurulatih dari Austria itu, yang pernah memenangi Liga europa bersama Eintracht Frankfurt pada 2022, sekali lagi membuktikan kehebatannya dalam pertandingan kalah mati.
Palace berjaya mengharungi penjualan pemain bintang Eberechi Eze dan Marc Guehi musim ini, termasuk kesan perpindahan Guehi ke Manchester City FC, Januari lalu, untuk menamatkan pengembaraan penuh pertama mereka di pentas Eropah dengan gelaran juara.
Palace menjadi kelab ketiga dari London dalam tempoh tiga tahun memenangi pertandingan itu, selepas West Ham United pada 2024 dan Chelsea pada 2025, sekali gus menunjukkan kekuatan kewangan luar biasa Liga Perdana.
Dengan Aston Villa sudah pun menjuarai Liga Europa, juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal boleh melengkapkan kemenangan bersih kejohanan Eropah jika menewaskan Paris Saint-Germain dalam final Liga Juara-Juara, Ahad ini. – AFP/UTUSAN










