Palace mara ke final Eropah pertama

Palace mara ke final Eropah pertama

PEMAIN Crystal Palace meraikan kejayaan mereka selepas mara ke final Liga Konferens EUFA dengan mencatat kemenangan agregat 5-2 ke atas Shakhtar Donetsk di London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

London: Crystal Palace mencipta sejarah apabila mara ke final Eropah pertama kelab itu selepas menewaskan Shakhtar Donetsk dengan agregat 5-2 dalam aksi separuh akhir Liga Konferens UEFA, semalam.

Dalam aksi timbal balik di Selhurst Park, Palace mencatat kemenangan 2-1 hasil gol sendiri Pedro Henrique dan jaringan Ismaila Sarr untuk mengesahkan kemaraan penuh bergaya ke pentas final.

Kejayaan itu sekali lagi membuktikan sentuhan magis pengurus, Oliver Glasner yang bakal menamatkan tugasnya bersama Palace hujung musim ini.

Lebih manis, Palace kini hanya selangkah untuk menjulang trofi Eropah pertama dalam sejarah kelab apabila dijadual bertemu Rayo Vallecano di final yang berlangsung di Leipzig pada 27 Mei ini.

“Kami selalu bercakap sebelum ini, inilah sebabnya ketika kami masih budak kecil kami mahu menjadi pemain bola sepak profesional. Saya beritahu pemain bahawa inilah ganjaran yang kami dapat, dan ganjaran ini tidak boleh dibeli.

“Saya juga cakap perkara ini selepas final Piala FA (2025). Sekarang kami bermain satu lagi final bersama, jadi apa yang dilakukan kumpulan pemain ini untuk Crystal Palace memang menakjubkan,” kata Glasner selepas tamat perlawanan.

Shakhtar yang ketinggalan 1-3 dalam aksi pertama cuba bangkit dengan memulakan permainan secara agresif, namun Palace lebih tenang mengawal tempo perlawanan di hadapan penyokong sendiri.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-25 selepas percubaan jarak jauh Adam Wharton gagal ditangkap kemas penjaga gol lawan, Dmytro Riznyk sebelum bola muntah terkena Henrique dan menerjah gawang sendiri.

Pasukan pelawat kembali menyamakan kedudukan menerusi Eguinaldo pada minit ke-34, namun Palace terus memberi tekanan dan hampir menambah jaringan menerusi percubaan akrobatik Jean-Philippe Mateta yang terkena tiang gol.

Bersambung babak kedua, Palace tidak menunggu lama untuk kembali di depan apabila Sarr mudah menyempurnakan hantaran lintang Tyrick Mitchell sekali gus memastikan kemenangan milik tuan rumah.

Sejak mengambil alih Palace pada awal 2024, Glasner membawa perubahan besar kepada kelab itu termasuk menghadiahkan trofi utama pertama menerusi kemenangan ke atas Manchester City dalam final Piala FA musim lalu.

Palace turut menjulang Perisai Komuniti selepas menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti.

Kini, kelab dari selatan London itu berpeluang menutup musim penuh gemilang dengan satu lagi trofi berprestij di pentas Eropah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN