KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengakui penstrukuran semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini semakin membuahkan hasil.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pencapaian skuad bawah 16 negara yang muncul naib juara dalam Kejuaraan ASEAN B-17 baru-baru ini menjadi petanda awal bahawa langkah penstrukturan semula NFDP itu berada di landasan tepat.
“Walaupun kita kalah dengan Vietnam, tetapi kita berjaya melepasi beberapa negara seperti Laos dan sebagainya. Jadi ini adalah perubahan-perubahan kecil yang kita lakukan supaya kita dapat memastikan pemain NFDP dapat digarap untuk kejayaan yang lebih besar akan datang,” katanya.
Jefri yang ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Sukan Para ASEAN 2027 di Kompleks Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, hari ini, turut berkata, FAM juga telah melakukan beberapa perubahan penting melibatkan struktur organisasi serta pengurusan kejurulatihan di NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).
“Kita dah lantik semua jurulatih di bawah FAM dan FAM pun telah pun melakukan perubahan daripada segi struktur dan juga pengurusan jurulatih di NFDP dan juga di AMD,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Jefri berkata, MSN bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengadakan kem secara berfasa terhadap atlet para negara dengan modul yang dibangunkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.
“Untuk modul pertama, aspek kenegaraan dan juga pertahanan mental dikendalikan sepenuhnya oleh pihak ATM dan juga Akademi Kenegaraan. Mereka mengendalikan banyak sesi bagi memastikan atlet kita bersedia dari segi mental,” katanya.
Katanya lagi, kem fasa kedua akan diadakan pada Januari depan manakala kem fasa ketiga dikendalikan pada Julai 2027 selepas senarai pendek kontinjen dimuktamadkan oleh MPM dan MSN. – UTUSAN










