SEREMBAN: Pemain hoki kebangsaan, Nuramirah Shakirah Zulkifli muncul wira dengan menjaringkan enam gol bagi pasukan hoki wanita Negeri Sembilan menewaskan MUTIARA-MSSPP-PSHA-PKS (Uniten), 15-0, dalam saingan Liga Hoki Malaysia TNB 2026 di Stadium Hoki Seremban 2 di sini, petang tadi.
Ia adalah kemenangan ketiga secara berturut-turut sekali gus meletakkan pasukan itu di tangga teratas liga dengan sembilan mata dan 31 gol.
Keputusan perlawanan hari ini adalah kekalahan yang kedua bagi Uniten yang terperosok di tangga terbawah liga.
Nuramirah menjaringkan gol pada minit ke-10, 13, 23, 49, 52 dan 58 dengan tiga gol daripada pukulan sudut penalti.
Negeri Sembilan memulakan perlawanan itu dengan gol pertama melalui Nur Zariefah Dania Mazlan pada minit ketujuh.
Pasukan itu tidak menoleh dengan terus mengasak kubu pelawat dengan gol Fatin Shafika Mohd. Sukri pada minit ke-12 dan 35; Nur Afiqah Syahzani Azhar (m-14, 47); Siti Nur Arfah Mohd. Nor (m-16, 29) dan pemain import dari India, Vandana Katariya (m-40, 60).
Sementara itu, Nuramirah puas dapat membantu Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan dengan jumlah gol yang besar daripada tiga perlawanan sehingga kini.
Pemain itu yang kini menduduki tangga teratas senarai penjaring gol terbanyak liga dengan 11 gol memberitahu, beliau akan terus memberi tumpuan untuk mempamerkan aksi yang terbaik dalam perlawanan akan datang tanpa mengira kedudukan pasukan lawan.-UTUSAN.










