PETALING JAYA: Keghairahan kelab Liga Malaysia (Liga M) memburu khidmat pemain import pada musim depan dikhuatiri akan terus membunuh minit permainan bakat tempatan sekiranya tiada keseimbangan dalam perancangan pasukan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, trend lambakan pemain import ketika ini secara langsung menyekat potensi ‘ubi muda’ negara untuk beraksi di pentas tertinggi dalam kancah bola sepak domestik.
Katanya, pendedahan lebih meluas perlu diberikan kepada bakat tempatan bagi memastikan kelangsungan kualiti pemain pada masa hadapan, sekali gus membekal pemain berkualiti kepada skuad kebangsaan.
“Biarpun saingan liga ketika ini sudah bagus, namun para jurulatih perlu mendedahkan lebih banyak bakat tempatan. Ruang beraksi untuk pemain tempatan perlulah diperluaskan semula ekoran lambakan pemain import yang kini mengehadkan peluang mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isu kuota pemain import dalam saingan Liga M kembali menjadi perhatian apabila cadangan untuk mengurangkannya mula dibangkitkan bagi mengimbangi persaingan dan kewangan kelab.
Ketika ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan kelab Liga Super mendaftar sehingga 15 pemain import, namun hanya enam dibenarkan beraksi serentak di atas padang menerusi komposisi empat terbuka, satu Asia dan satu ASEAN.
Zulakbal berpendapat pengurusan kelab tidak perlu melakukan pelaburan yang semberono sehingga menjejaskan ekosistem pembangunan bola sepak di peringkat bawahan.
“Kehadiran import berkualiti memang diperlukan untuk menaikkan nilai liga, namun tidak seharusnya menjadi alasan untuk kelab meminggirkan program pembangunan pemain remaja.
“Kelab wajib mengimbangi pengambilan pemain import berkualiti dengan usaha berterusan membangunkan bakat remaja tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Zulakbal menambah, pembangunan pemain tempatan bukan sekadar bergantung kepada minit permainan tetapi juga kualiti infrastruktur seperti padang dan pencahayaan stadium.
Menurutnya, kelab tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada padang jenis rumput lembu (cow grass) sekiranya mahu melahirkan pemain yang mempunyai tahap teknikal hantaran bertaraf dunia.
“Kualiti lampu limpah dan permukaan padang perlu dipertingkatkan kerana ia memainkan peranan besar dalam ketepatan hantaran (precision of passes) serta kawalan bola.
“Kualiti permainan individu dan pasukan dapat ditingkatkan selari dengan standard dunia sekiranya kita tidak lagi bergantung kepada rumput jenis cow grass,” tambahnya.-UTUSAN










