Industri insurans nilai semula struktur perlindungan EV - Utusan Malaysia

Industri insurans nilai semula struktur perlindungan EV

PENGERUSI PIAM, Ng Kok Kheng dan Chua Kim Soon bergambar selepas sesi Taklimat General Insurance Association of Malaysia (PIAM) Prestasi Insurans Am dan Kemaskini Utama Industri di Holiday Inn Bangsar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri insurans sedang menilai semula struktur perlindungan bagi kenderaan elektrik (EV), termasuk potensi kesan terhadap premium pada masa hadapan, berikutan peningkatan kos pembaikan dan tuntutan yang dipacu oleh penggunaan teknologi canggih.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, kos baik pulih EV yang semakin meningkat termasuk isu logistik alat ganti import kini menjadi antara kebimbangan utama industri insurans am tempatan.

Ujarnya, walaupun kenaikan harga alat ganti ketika ini masih pada kadar satu digit, tekanan kos semakin dirasai terutama membabitkan EV dan kenderaan yang bergantung kepada komponen import.

“Selain komponen bateri yang menyumbang sekitar 30 peratus hingga 50 peratus daripada kos EV, teknologi bantuan pemandu termaju (ADAS) turut meningkatkan kos pembaikan.

“Dengan penggunaan sensor di seluruh kenderaan, walaupun kemalangan kecil boleh menyebabkan kos gantian yang tinggi. Ini memberi kesan langsung kepada struktur tuntutan dan premium,” katanya kepada pemberita selepas taklimat media PIAM di sini semalam.

Menurut Kim Soon, ADAS mungkin membantu mengurangkan kemalangan serius dan menyelamatkan nyawa, tetapi apabila kemalangan berlaku, kos baik pulih pula menjadi lebih mahal.

“Keadaan ini menyebabkan industri insurans kini menilai semula struktur perlindungan bagi EV termasuk impaknya terhadap premium pada masa depan.

“Isu logistik alat ganti turut memberi kesan kepada peningkatan kos tuntutan terutama bagi model yang alat gantinya dibawa masuk dari luar negara. 

“Model seperti Proton X50 dan X70 antara yang menyumbang kepada peningkatan keterukan tuntutan kerana kebanyakan alat gantinya diimport dari China,” katanya.

Beliau berkata, apabila alat ganti diimport dan tidak dibuat secara tempatan, kesan inflasi harga menjadi lebih ketara. Berbanding model yang mempunyai ekosistem alat ganti tempatan, kos baik pulih lebih terkawal.

 “Nilai jualan semula EV juga jatuh lebih pantas berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

“Kajian kami menunjukkan terdapat perbezaan sekitar enam peratus antara EV dan kenderaan petrol dalam beberapa tahun pertama, malah boleh mencecah sehingga 14 peratus,” katanya.

Mengulas isu perlindungan bencana, beliau berkata, kadar pengambilan insurans banjir dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih rendah, terutamanya disebabkan kekangan kos operasi.

“PKS beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil, jadi kos menjadi faktor utama mengapa perlindungan tambahan seperti insurans banjir tidak diambil,” katanya.

PIAM turut mengumumkan industri insurans am Malaysia catat Premium Bertulis Kasar (GWP) sebanyak RM24.2 bilion pada 2025, meningkat 4.8 peratus daripada RM23.1 bilion pada 2024. 

Keuntungan pengunderaitan industri juga meningkat kepada RM1.2 bilion, iaitu pertambahan RM125 juta tahun ke tahun, manakala nisbah gabungan keseluruhan kekal stabil pada sekitar 93 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN