JDT kenduri gol benam KL City 7-0

JDT kenduri gol benam KL City 7-0

Penyerang JDT Ajdin Mujagic diasak pertahanan KL City FC Adam Nor Azlin pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol membelasah Kuala Lumpur (KL) City 7-0 yang bermain dengan 10 orang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam tadi.

Pasukan kendalian Xisco Munoz hampir membuka jaringan seawal minit kelima menerusi hantaran Corbin Ong namun rembatan lemah oleh Marcos Guilherme menyaksikan percubaan tersebut sedikit tersasar.

Skuad Harimau Selatan yang beraksi dengan keyakinan terus mengasak kubu lawan, kali ini giliran Oscar Arribas melakukan hantaran silang ke dalam kotak namun hantaran itu tampak terlalu laju untuk disambut oleh Corbin Ong dan Ajdin Mujagic.

Kekebalan benteng pertahanan The City Boys akhir bocor juga setelah sepakan bebas yang diambil Ager Aketxe pada minit ke-17 melepasi benteng pertahanan dan melayang melepasi jangkauan penjaga gol, Quincy Kammeraad.

Pasukan kendalian Risto Vidakovic cuba bangkit pada perlawanan namun ayam tambatan KL City, Kpah Sherman tampak bergelut setelah dikawal ketat Antonio Glauder dan Eddy Israfilov.

Ketika pasukan pelawat cuba mencari rentak permainan, JDT terlebih dahulu menambah jaringan setelah umpanan Guilherme kepada Arribas berjaya disudahkan pemain tengah itu bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-34.

Nacho Mendez hampir menambah derita buat pasukan KL City setelah sepakan lencong dari luar kotak pada minit ke-38 sedikit tersasar dari pintu gol lawan.

Situasi bertambah sukar buat The City Boys apabila terpaksa bermain dengan 10 orang setelah pemain import, Dmytro Lytvyn dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Usaid Jamal setelah melakukan terjahan keras terhadap Arribas.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Harimau Selatan yang terus menggandakan asakan ke kubu lawan dan Guilherme hampir mencipta jaringan namun tandukan yang dilakukan pada minit ke-54 sedikit tersasar.

KL City tampak enggan menyerah kalah dan hampir merapatkan jurang gol menerusi sepakan percuma yang diambil bekas pemain JDT, Safawi Rasid namun rembatan yang dilakukan sekadar menggegar tiang gol pasukan tuan rumah pada minit ke-65.

Pemain JDT Oscar Aribas diasak pemain KL City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Tindakan Munoz yang membawa masuk dua pemain gantian, Teto Martin dan Stuart Wilkin membuahkan hasil setelah kedua-dua pemain itu berjaya memahatkan nama mereka dalam senarai penjaring.

Wilkin meledak jaringan pada minit ke-72 hasil gerakan yang dimulakan Yago Cesar apabila membuat umpanan kepada Martin sebelum melakukan cut back kepada Wilkin untuk meletakkan bola ke dalam gawang KL City.

Empat minit berselang, giliran Martin pula mencipta jaringan keempat perlawanan dan merupakan gol ke-100 buat JDT dalam saingan Liga Super musim ini setelah menyempurnakan hantaran Mujagic pada minit ke-76.

Memasuki 10 minit terakhir perlawanan, pasukan kendalian Vidakovic tampak seakan hilang punca setelah membenarkan pasukan tuan rumah terus menambah jaringan pada minit ke-81, kali ini giliran Mujagic yang membuat sentuhan akhir membiaskan rembatan Manuel Hidalgo bagi mengelirukan Kammeraad.

Dua minit berselang, Israfilov yang tidak dikawal membuat larian ke dalam kotak penalti KL City bagi menyambut hantaran lambung Cesar bagi terus menghukum pasukan pelawat.

Hidalgo melengkapkan pesta gol JDT apabila meledak gol ketujuh perlawanan apabila mudah menolak bola ke dalam gawang yang tidak berkawal pada masa kecederaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN