PETALING JAYA: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet berbasikal trek para, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas sempena Anugerah SAM-100PLUS 2025.
Muhammad Irfan, 30, berada dalam kelas tersendiri sekali gus membuktikan kredibiliti sebagai jaguh Asia Tenggara selepas merangkul pingat emas sambil mencipta rekod baharu temasya pada Sukan Sea Thailand 2025
Ia emas peribadi ketujuh berturut-turut Muhammad Irfan sejak beliau mula mendominasi acara itu pada edisi 2013 di Myanmar.
Badang negara sebelum ini pernah suatu ketika dahulu menyertai beberapa jenis sukan termasuk ragbi dan bola baling, sebelum beralih memberi tumpuan penuh kepada lempar cakera pada usia 17 tahun.
Muhammad Irfan pernah dinobatkan Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-17 selepas berjaya memecah rekod kebangsaan acara lempar cakera dengan jarak lontaran sejauh 54.26 meter (m), sekali gus memperbaharu catatan 53.16m yang dilakukannya pada Sukan Sea Myanmar 2013.
Sejak itu, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu terus mendominasi temasya berprestij Asia Tenggara, sebelum berjaya memadam rekod berusia 26 tahun milik Wong Tuck Yim dari Singapura dengan melakukan 60.23m mengatasi rekod 59.60m yang dilakukan pada edisi 1999 di Brunei.

Sementara itu, bermula dengan kayuhan santai bersama bapa mengelilingi kampung di Kuala Kangsar, Perak ketika berusia 16 tahun, membawa Mohamad Yusof ke pentas lebih tinggi untuk bergelar juara dunia 2025.
Mohamad Yusof, 28, menjadi atlet para Malaysia pertama menyarung Jersi Pelangi selepas meraih pingat emas acara MC1 200 Meter Flying Sprint di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 yang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil.
Mengimbas pencapaian terdahulu, Mohamad Yusof yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga itu pernah meraih pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2020 dalam acara 15km scratch lelaki C1, selain turut menyumbang masing-masing satu emas, perak dan gangsa pada Sukan Para Asean Kuala Lumpur.
Mohamad Yusof meneruskan kecemerlangan apabila merangkul pingat perak Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018 dalam acara pecut berpasukan C1-5 lelaki serta pencapaian tempat kelima di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo dalam acara ujian masa individu lelaki C1 (lebuh raya).
Naib Presiden SAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengajur Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata, kejayaan yang dicapai Muhammad Irfan dan Mohamad Yusof tidak hadir dengan mudah.
“Pencapaian mereka tidak hadir dalam sekelip mata dan pastinya memerlukan pengorbanan yang lebih daripada sekadar berlatih di gelanggang masing-masing.
“SAM berharap dengan pengiktirafan ini, dapat menyemarakkan lagi semangat bukan sahaja Muhammad Irfan dan Mohamad Yusof, tetapi juga permata baharu dalam arena sukan tanah air. Kejayaan memerlukan pengorbanan dan kesabaran untuk merealisasikannya,” katanya.
Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadualkan pada 13 Mei 2026 di ibu negara dan akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025, turut disediakan ialah Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.
Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2025, turut dirai pada majlis adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.
Anugerah dibahagi kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.-UTUSAN










