5 figura yang kini aktif di belakang tabir - Utusan Malaysia

5 figura yang kini aktif di belakang tabir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua yang hebat dalam industri hiburan Korea berdiri di atas pentas dan menjadi sorotan lensa kamera. Ada segelintir mereka memilih untuk bermain di belakang tabir kerana mahu berkarya dengan kelebihan yang dimiliki.

Menariknya, ada antara mereka pernah berada di posisi paling hadapan, dikenali dan disanjung peminat. Jika sebelum ini sorakan mungkin menjadi ukuran populariti, tetapi kini mereka menjadi figura penting untuk membentuk generasi baharu dengan pengalaman yang pernah dilalui sendiri.
Berikut merupakan lima figura hebat yang kini aktif di belakang tabir:

Jay Park

Nama Jay Park sering disebut sebagai simbol perubahan dalam industri hiburan Korea daripada seorang idol kepada figura berpengaruh di belakang tabir.
Perjalanannya bermula sebagai ketua kumpulan 2PM, namun kariernya tergugat akibat kontroversi yang memaksanya meninggalkan industri Korea buat seketika.
Penubuhan label seperti AOMG dan H1GHR MUSIC menjadi titik perubahan besar, di mana Jay Park tidak lagi sekadar artis, tetapi pencipta ekosistem. Dia mencungkil bakat baharu, membentuk identiti mereka, dan membuka ruang kepada hip-hop serta R&B berkembang dalam arus perdana.

Kim Jae Joong

Kim Jae Joong, salah satu figura paling penting dalam evolusi industri K-pop generasi awal yang kini lebih banyak bergerak di belakang tabir. Perjalanannya bermula sebagai ahli TVXQ, salah satu kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah K-pop.
Ketika era itu, industri masih sangat ketat dan terikat dengan sistem pengurusan yang keras. Namun selepas melalui konflik kontrak dan perpecahan kumpulan, Kim Jae-joong memilih jalan yang lebih bebas bersama JYJ, sekali gus membuka babak baharu dalam kerjayanya.
Kini, dia terlibat dalam pengurusan dan pembangunan artis, menggunakan pengalamannya untuk membentuk sistem yang lebih fleksibel dan memahami keperluan individu. Pendekatannya yang lebih empati, memberi ruang kepada artis baru untuk berkembang tanpa tekanan berlebihan seperti yang pernah dilaluinya.

Zico

Bermula sebagai ketua kumpulan Block B, Zico cepat menonjol bukan hanya kerana karisma di pentas, tetapi kerana keupayaannya menghasilkan muzik yang berbeza daripada kebiasaan.
Sejak awal pembabitan, dia sudah terlibat dalam penulisan lirik dan mencipta lagu sekali gus menjadikan identitinya sebagai artis yang lengkap bukan sekadar penghibur, tetapi pencipta.
Namun, evolusi sebenar Zico berlaku apabila dia melangkah lebih jauh ke belakang tabir. Penubuhan KOZ Entertainment membuka ruang untuknya membentuk generasi baharu mengikut acuannya sendiri.

Suga

Bermula sebagai ahli kumpulan BTS, Suga yang dikenali dengan imej tenang dan minimalis itu sangat aktif dalam penulisan lirik, komposer dan penerbitan lagu. Kebolehan itu menjadikannya berbeza daripada ramai idol lain yang bergantung kepada pasukan produksi luar.
Seiring kejayaan global BTS, peranan Suga turut berkembang. Dia bukan sekadar penghibur, tetapi juga produser yang membentuk identiti muzik kumpulan tersebut.
Suga yang turut dikenali sebagai Agust D juga menghasilkan lagu untuk artis lain, termasuk nama besar dalam industri Korea dan antarabangsa. Setiap sentuhan muziknya membawa identiti tersendiri secara tidak langsung menjadikannya antara produser paling dihormati dalam generasinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN