Hidalgo mampu tambah ‘sengat’ Harimau Malaya

Hidalgo mampu tambah ‘sengat’ Harimau Malaya

PEMAIN JDT, Manuel Hidalgo (kanan) berpeluang mewakili Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo dilihat mampu menggalas peranan penting dalam memperkasa jentera serangan Harimau Malaya sekiranya proses naturalisasinya dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Perkembangan itu semakin hangat diperkatakan apabila Hidalgo bersama rakan sepasukan, Bergson da Silva dikaitkan bakal memperoleh status pemain tempatan selepas memenuhi syarat tempoh bermastautin di negara ini.

Bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli berpandangan kehadiran Hidalgo berupaya menyuntik kelainan dalam corak permainan skuad negara, khususnya dari segi kreativiti serta pergerakan di bahagian serangan.

Menurutnya, pemain berusia 27 tahun itu memiliki keistimewaan tersendiri yang jarang dimiliki pemain naturalisasi lain, terutama dari sudut intensiti permainan dan keupayaan mencipta peluang.

“Hidalgo ada gaya permainan yang lebih dinamik dan itu boleh bantu tambah variasi dalam serangan Harimau Malaya.

“Dia bukan sekadar pemain biasa tapi ada sentuhan individu yang kreatif dan mampu ubah permainan,” kata bekas penyerang Selangor itu.

Namun, beliau mengingatkan cabaran sebenar menanti Hidalgo bukanlah berkaitan kualiti, sebaliknya keupayaan menyesuaikan diri dengan taktikal dan keserasian dalam skuad kebangsaan.

Rudie yang pernah menyarung jersi beberapa kelab Liga Malaysia, berkata walaupun Hidalgo kini beraksi dalam persekitaran kompetitif di JDT yang dipenuhi pemain berkualiti, situasi bersama pasukan negara menuntut adaptasi yang lebih pantas.

“Di JDT, dia bermain dalam pasukan yang sudah mantap. Dalam skuad kebangsaan, dia perlu cepat faham corak permainan dan bina keserasian dengan pemain lain. Kalau dapat sokongan, saya percaya dia boleh beri impak besar,” jelas Rudie yang pernah beraksi di Jerman bersama kelab SV Wehen.

Sejak tiba di Malaysia pada 2021 bersama Sri Pahang, Hidalgo terus mengembangkan kariernya bersama Kedah Darul Aman dan Kuala Lumpur City sebelum kini menjadi antara tonggak JDT.

Selain Hidalgo dan Bergson, pemain lain yang turut disebut-sebut berpotensi melalui proses sama ialah pertahanan Giancarlo Gallifuoco serta pemain tengah Selangor FC, Alex Agyarkwa, sekali gus memberi lebih pilihan kepada skuad kebangsaan pada masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN