PETALING JAYA: Bekas pelumba lebuh raya negara, Mohamed Harrif Salleh menyuarakan hasrat untuk kembali beraksi dalam acara endurance trek menjelang Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
Pelumba berpengalaman berusia 38 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke velodrom sekiranya diberi peluang, khususnya dalam acara kegemarannya scratch race dan penyingkiran.
“Saya masih lagi menjalani latihan dan berlatih bersama pelumba muda sekarang, jadi kita tengok dulu macam mana.
“Mungkin saya tidak sepenuhnya bersara daripada lebuh raya kerana saya masih ada minat untuk beraksi dalam trek,” kata Hariff yang mengumumkan persaraan awal tahun ini.
Hariff yang mesra disapa Mamat itu mengakui fokusnya ketika ini lebih kepada mengekalkan tahap kecergasan sambil membantu pelumba muda dalam sesi sparring dan latihan harian.
Beliau turut menegaskan tidak menutup pintu untuk kembali ke pentas antarabangsa sekiranya prestasinya masih mampu bersaing dengan pelumba elit negara.
“Kalau diberi peluang, apa salahnya saya cuba lagi terutama dalam acara trek yang saya masih mampu beri saingan. Kalau saya masih boleh menang dan beri tekanan kepada pelumba muda, saya rasa tidak ada masalah untuk saya kembali berlumba,” jelasnya.
Dalam masa sama, Hariff yang pernah memenangi gangsa acara scratch race di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) edisi 2012 di Velodrom Cheras itu turut menegaskan fokus utama ketika ini adalah untuk terus aktif dalam sukan berbasikal sekali gus berperanan sebagai pemacu semangat kepada generasi baharu.
“Kalau diberi peluang memang saya nak sertai kerana saya masih rasa mampu untuk mengayuh dalam acara trek. Tahun lalu saya juga menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan kejohanan YSD.
“Walaupun saya bukan menjalani latihan trek secara khusus, saya masih mampu memberi 100 peratus dan bersaing dengan pelumba yang berlatih di velodrom setiap hari.
“Kita juga mahu beri tekanan kepada pelumba muda supaya mereka tidak terlalu selesa dalam zon selesa, walaupun fasiliti di Terengganu tidak begitu lengkap,” katanya.-UTUSAN










