BARCELONA: Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengesahkan dia telah menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab gergasi Sepanyol itu dengan pilihan lanjutan semusim lagi selepas berjaya membantu pasukannya muncul juara La Liga buat kali kedua berturut-turut.
Pengendali dari Jerman itu memastikan kejuaraan liga musim ini selepas Barcelona menewaskan seteru tradisi, Real Madrid 2-0 di Camp Nou pada Ahad lalu.
Menurut Flick, gembira dengan pencapaian yang diraih setakat ini dan percaya Barcelona merupakan tempat terbaik untuk meneruskan karier kejurulatihannya.
“Saya sangat gembira dan apa yang telah dicapai memberi keyakinan untuk terus kekal di sini satu atau dua tahun lagi.
“Ramai jurulatih mungkin mahu berada lebih lama, namun saya fikir di Barcelona adalah lebih baik untuk menetapkan tempoh tertentu.
“Buat masa ini kontrak saya sehingga 2028 dan jika semuanya berjalan lancar, kami akan berbincang semula. Saya percaya ini adalah perjanjian yang baik untuk kedua-dua pihak,” katanya pada sidang media menjelang aksi menentang Alaves, hari ini.
Flick turut meletakkan sasaran untuk membantu Barcelona menamatkan musim dengan mengumpul lebih 100 mata dalam saingan liga.
“Kami mahu mencapai 100 mata dan untuk itu kami perlu memenangi baki tiga perlawanan. Kami sudah meraikan kejuaraan tetapi fokus pasukan masih kekal untuk menamatkan musim dengan baik,” katanya.
Sejak menyertai Barcelona pada musim panas 2024 menggantikan Xavi Hernandez, Flick telah menghadiahkan dua gelaran La Liga, satu Copa del Rey dan dua trofi Piala Super Sepanyol kepada kelab Catalan itu.
Bagaimanapun, trofi Liga Juara-Juara Eropah masih belum berjaya dimenanginya bersama Barcelona meskipun pernah menjulang kejuaraan tersebut ketika membimbing Bayern Munich pada 2020.
Musim ini, Barcelona tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Atletico Madrid, manakala musim lalu mereka kecundang kepada Inter Milan dengan agregat 7-6 di separuh akhir.
“Semua orang mengimpikan Liga Juara-Juara dan kami akan terus mencuba untuk memenanginya. Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk terus mengendalikan pasukan ini,” katanya.
Sebelum membimbing Barcelona, Flick pernah menjadi pembantu kepada Joachim Loew ketika Jerman muncul juara Piala Dunia 2014.
Dia kemudiannya mencipta kejayaan besar bersama Bayern Munich antara 2019 hingga 2021 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jerman.
Namun, tempoh bersama skuad kebangsaan itu tidak berjalan lancar apabila Flick menjadi jurulatih pertama dipecat dalam sejarah pasukan Jerman.
Setahun selepas itu, dia kembali membina reputasi bersama Barcelona dan berjaya membawa semula kelab berkenaan ke landasan kejayaan meskipun berdepan kekangan kewangan. – AFP










