MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Michael Carrick mula memasang impian untuk menjadi pengurus tetap kelab itu selepas United membenam Liverpool 3-2, semalam.
Kemenangan ke atas anak buah Arne Slot itu juga membolehkan The Red Devils kembali ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Kejayaan itu memastikan United mengunci kedudukan lima teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki tiga perlawanan, sekali gus menamatkan penantian dua musim untuk kembali ke pentas elit Eropah.
Misi membawa semula United ke Liga Juara-Juara menjadi agenda utama Carrick sejak dilantik pada Januari lalu menggantikan Ruben Amorim dan pencapaian itu kini meletakkan beliau sebagai calon utama untuk dilantik secara tetap.
“Saya suka apa yang saya lakukan dan ini posisi yang baik untuk saya. Sejujurnya, ia terasa cukup semula jadi. Bukan bermaksud saya ambil mudah kerana ini tugas yang sukar, tetapi saya rasa seperti sudah lama berada di sini.
“Saya faham apa yang dituntut dan berada di posisi ini adalah sesuatu yang baik,” katanya.
Dalam masa sama, Carrick mengingatkan kejayaan tersebut bukan penamat kepada perjuangan United yang sudah 13 tahun tidak menjulang trofi liga.
“Ketika saya memulakan tugas, slot Liga Juara-Juara agak jauh daripada jangkauan.
Dengan baki tiga perlawanan dan kedudukan kami sekarang, memang ada rasa puas, tetapi ia belum berakhir,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Liverpool, Arne Slot jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila mengalami kekalahan ke-11 liga musim ini dan ia terus merencatkan usaha pasukannya memburu tiket Liga Juara-Juara.
Slot turut mempersoalkan keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesahkan gol awal United, namun mengakui pasukannya juga perlu memperbaiki kelemahan sendiri.
“Banyak kali pada musim ini kami hanya menunggu untuk menjaringkan gol, tetapi sebaliknya kami dibolosi kerana hilang fokus.
“Jika ia sentuhan, yang saya rasa memang ada, dalam permainan bola ia mempunyai lengkungan tertentu dan ia berubah, maka ia mesti ada sentuhan, jadi anda perlu berbincang sama ada itu cukup untuk membatalkan gol,” katanya sambil dilihat berang dan menghentak meja pada sidang media selepas perlawanan.-AGENSI










