PAMPOLA: Barcelona semakin hampir untuk menjuarai La Liga selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Osasuna dalam aksi yang berlangsung semalam.
Dalam aksi tersebut, Robert Lewandowski muncul wira apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-81 menerusi tandukan kemas, sebelum Ferran Torres menambah jaringan kedua empat minit kemudian bagi mengukuhkan kedudukan pelawat.
Kemenangan itu menyaksikan Barcelona kini selesa di puncak liga dengan kelebihan 14 mata mengatasi pencabar terdekat, Real Madrid sekali gus meletakkan mereka di ambang untuk meraih kejuaraan ke-29 dalam sejarah kelab.
Bagaimanapun, penentuan kejuaraan masih bergantung kepada keputusan perlawanan melibatkan Real Madrid menentang Espanyol.
Sekiranya skuad kendalian Carlo Ancelotti itu gagal meraih kemenangan, Barcelona akan disahkan sebagai juara lebih awal.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick menyifatkan kemenangan tersebut sebagai amat penting dalam usaha pasukannya memburu kejuaraan liga.
“Ini perlawanan yang sukar, terutama pada separuh masa pertama. Namun, kami menunjukkan peningkatan pada babak kedua dan berjaya mendapatkan keputusan yang diinginkan,” katanya. – AFP










