Arsenal kukuh di puncak liga

Arsenal kukuh di puncak liga

PEMAIN Arsenal meraikan kejayaan mereka selepas menewaskan Fulham 3-0 dalam aksi liga, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Fulham, sekali gus melebarkan jurang kepada enam mata di puncak liga.

Kejayaan itu hadir tepat pada masanya ketika skuad kendalian Mikel Arteta sebelum ini dilihat bergelut mengekalkan konsistensi dalam beberapa perlawanan terakhir.

Bagaimanapun, kembalinya Bukayo Saka selepas berehat panjang akibat kecederaan nyata memberi suntikan moral apabila Arsenal tampil lebih bertenaga dan tersusun di hadapan penyokong sendiri.

Arsenal tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Viktor Gyokeres mudah menolak masuk hantaran lintang Saka seawal minit kesembilan.

Gol tersebut meredakan tekanan tuan rumah yang sebelum ini dilihat sedikit goyah dalam memburu kejuaraan pertama sejak 22 tahun lalu.

Gyokeres sekali lagi memainkan peranan penting apabila membantu Saka menggandakan kelebihan sebelum pemain England itu melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.

Arsenal terus mengukuhkan cengkaman sebelum tamat babak pertama apabila Gyokeres menanduk masuk hantaran Leandro Trossard untuk gol ketiga peribadinya musim ini.

Dalam perkembangan lain, Brentford mengukuhkan kedudukan dalam perebutan tempat keenam selepas menewaskan West Ham 3-0.

Keputusan itu memberi kelebihan kepada Brentford untuk memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan, selain memberi sedikit kelegaan kepada Tottenham yang masih berjuang keluar daripada zon penyingkiran.

West Ham pula berdepan hari malang apabila pertahanan mereka, Konstantinos Mavropanos menjaringkan gol sendiri sebelum satu lagi jaringannya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR).

Igor Thiago kemudian menambah derita pelawat menerusi sepakan penalti sebelum Mikkel Damsgaard melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Sementara itu, Newcastle menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan Brighton 3-1.

Dalam satu lagi aksi, Sunderland terlepas peluang memperbaiki kedudukan apabila sekadar seri 1-1 menentang Wolves dengan Dan Ballard dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN