PARIS: Misi Brazil untuk menoktahkan penantian panjang menjulang trofi Piala Dunia kini di bahu jurulatih berprofil tinggi, Carlo Ancelotti yang diharap mampu mengembalikan kegemilangan Selecao selepas lebih dua dekad ketandusan gelaran dunia.
Sudah 24 tahun berlalu sejak Brazil kali terakhir bergelar juara dunia pada 2002 dan situasi itu mengingatkan semula tempoh kemarau mereka antara era kemenangan 1970 hingga kejayaan pada 1994.
Kini, tugas menghidupkan semula aura juara diberikan kepada pengendali berusia 66 tahun itu yang hadir bersama reputasi besar serta rekod cemerlang di pentas bola sepak Eropah.
Ancelotti mengakui dia tidak terlalu dibayangi tekanan untuk menjulang Piala Dunia, sebaliknya mahu menikmati pengalaman membimbing pasukan paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak dunia.
“Saya tidak obses memenangi Piala Dunia, tetapi saya bersemangat kerana mengendalikan pasukan kebangsaan paling penting di dunia,” katanya.
Bekas jurulatih Real Madrid itu bukan nama asing dalam dunia kejurulatihan apabila pernah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebanyak lima kali selain meraih gelaran liga utama di Itali, England, Perancis, Jerman dan Sepanyol.
Sejak kejayaan di Jepun dan Korea Selatan pada 2002, Brazil gagal menepati status kuasa besar bola sepak dunia apabila empat kali tersingkir di suku akhir Piala Dunia dan hanya sekali mara ke separuh akhir sebelum dimalukan 1-7 oleh Jermandi laman sendiri pada 2014.
Kekecewaan menerusi penyingkiran kepada Croatia national football team pada Piala Dunia 2022 pula menyaksikan era Tite berakhir.
Selepas beberapa pertukaran jurulatih, Ancelotti akhirnya dipilih sebagai arkitek baharu Brazil dan berjaya memastikan pasukan itu melepasi kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, perjalanan mereka masih belum cukup meyakinkan apabila Brazil hanya menamatkan saingan kelayakan zon Amerika Selatan di tangga kelima, jauh ketinggalan di belakang seteru tradisi, Argentina. – AGENSI/UTUSAN










