LONDON: Chelsea membuat keputusan drastik apabila memecat pengurusnya, Liam Rosenior selepas kurang empat bulan memegang jawatan susulan prestasi buruk pasukan itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keputusan tersebut diambil selepas The Blues tewas lima perlawanan liga berturut-turut, termasuk kekalahan 0-3 kepada Brighton yang disifatkan Rosenior sendiri sebagai tidak boleh diterima.
Chelsea kini mencatat tujuh kekalahan dalam lapan aksi terakhir dalam semua pertandingan, selain gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak 1912.
“Chelsea hari ini telah berpisah dengan ketua jurulatih, Liam Rosenior.
“Ini bukan keputusan mudah, namun prestasi semasa tidak mencapai standard yang ditetapkan ketika musim masih berbaki,” menurut kenyataan rasmi kelab itu.
Rosenior, 41, sebelum ini dibawa dari kelab Perancis, Strasbourg pada Januari lalu bagi menggantikan Enzo Maresca.
Bagaimanapun, dia gagal mengemudi kebangkitan pasukan selepas Chelsea turut tersingkir daripada beberapa pertandingan utama.
Pembantu jurulatih, Calum McFarlane kini diberi tanggungjawab sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim, dengan tugas utama memastikan Chelsea sekurang-kurangnya layak ke pentas Eropah.
Chelsea kini berada di tangga ketujuh liga, tujuh mata di belakang kelompok empat terbaik dengan hanya empat perlawanan berbaki. – AFP










