Raya wira Arsenal, Havertz julang kemenangan di Lisbon

Raya wira Arsenal, Havertz julang kemenangan di Lisbon

David Raya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Penjaga gol Arsenal, David Raya muncul wira apabila membantu pasukannya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sporting Lisbon dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, semalam.

Aksi cemerlang Raya yang melakukan beberapa penyelamatan penting membolehkan The Gunners bertahan daripada asakan tuan rumah sebelum jaringan lewat Kai Havertz memastikan kemenangan berharga di Stadium Jose Alvalade.

Raya terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila menepis rembatan deras Maxi Araujo yang hampir menembusi gawang, selain menyelamatkan percubaan rendah Geny Catamo.

Tidak cukup dengan itu, penjaga gol Sepanyol tersebut sekali lagi menjadi benteng ampuh apabila menafikan tandukan Catamo pada penghujung babak kedua.

Walaupun mempamerkan aksi kurang meyakinkan sepanjang perlawanan, Arsenal berjaya memanfaatkan peluang terhidang menerusi jaringan Havertz pada masa kecederaan.

Gol tersebut hadir hasil gerakan cantik pemain gantian, Gabriel Martinelli sekali gus memberi kelebihan besar buat skuad kendalian Mikel Arteta menjelang aksi timbal balik, 15 April ini.

Kemenangan itu juga menamatkan rentetan dua kekalahan Arsenal sebelum ini, termasuk dalam final Piala Liga kepada Manchester City dan aksi Piala FA.

Mengulas prestasi rakan sepasukannya, Havertz menyifatkan Raya sebagai penjaga gol terbaik dunia ketika ini.

“Dia luar biasa dan sering dipandang rendah. Bagi saya, sejak dua musim lalu, dia adalah penjaga gol terbaik dunia,” katanya.

Sementara itu, Arteta turut memuji aksi cemerlang Raya yang dianggap sebagai antara faktor utama kemenangan Arsenal.

“Dia sangat fenomenal. Kami bertuah memilikinya dan dalam perlawanan besar seperti ini, aksi di dalam kotak penalti menjadi penentu,” kata Arteta.

Dalam pada itu, Raya mengakui penyelamatannya pada awal permainan menjadi detik penting yang mengubah corak perlawanan.

“Ia momen penting yang memberi keyakinan kepada pasukan untuk terus bertahan dan mencari kemenangan,” katanya.

Arsenal kini berada di landasan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir selain terus menghidupkan impian memburu kejuaraan Eropah pertama dalam sejarah kelab. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN