GEORGE TOWN: Usaha memelihara biodiversiti negeri diperkukuh apabila Langur Project Penang (LPP) melancarkan jambatan kanopi hidupan liar ketiga di negeri ini dikenali sebagai The Obscura di Batu Ferringhi.
Pembinaan jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Bridge to Coexist yang bertujuan mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar, khususnya spesies primat seperti lutong kelabu dan kera ekor panjang yang semakin kerap memasuki kawasan bandar.
Pengasas LPP, Dr. Yap Jo Leen berkata, pembangunan pesat tanpa mengambil kira pergerakan hidupan liar, menyebabkan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan haiwan dan interaksi negatif dengan manusia.
Katanya, projek jambatan kanopi ini bertindak sebagai laluan selamat di atas jalan raya bagi spesies arboreal untuk bergerak antara habitat yang telah terpisah akibat pembangunan.
“Di sebalik setiap jambatan yang dibina, terdapat sekurang-kurangnya setahun kajian tingkah laku dan pergerakan hidupan liar yang dijalankan oleh pasukan kami bersama sukarelawan,” katanya dalam sidang akhbar sempena pembinaan jambatan itu di sini hari ini.
Jambatan The Obscura dinamakan sempena nama saintifik lutong kelabu iaitu trachypithecus obscurus, melambangkan usaha membawa spesies tersembunyi ini kembali ke perhatian umum sebagai khazanah semula jadi negeri.
Jambatan sepanjang kira-kira 15 meter itu dibina menggunakan hos bomba terpakai sebagai sebahagian daripada pendekatan kitar semula dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Jo Leen berkata, sebelum ini, dua jambatan kanopi dibina iaitu Ah Lai’s Crossing di Teluk Bahang pada 2019 dan Numi’s Crossing di Tanjung Bungah pada 2024, yang masing-masing mencatat ribuan pergerakan lintasan hidupan liar.
Data LPP menunjukkan lebih 8,500 lintasan direkodkan di jambatan pertama melibatkan sekurang-kurangnya sembilan spesies termasuk tupai gergasi hitam, musang pandan dan lain-lain haiwan.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan kematian hidupan liar di jalan raya, malah menjadi platform pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan hidup secara harmoni dengan alam.
“Ia bukan penyelesaian sepenuhnya, tetapi langkah permulaan untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan hidup bersama hidupan liar,” katanya.
LPP giat menjalankan pemantauan berterusan di semua lokasi jambatan dan mengalu-alukan penyertaan orang ramai sebagai sukarelawan dalam usaha pemuliharaan jangka panjang di Pulau Pinang.-UTUSAN










