PETALING JAYA: Tahun 2026 dijangka menjadi tempoh mencabar berikutan suasana ekonomi global yang terkesan akibat peperangan di Timur Tengah, sekali gus memberi kesan kepada kos perkhidmatan dan barangan yang meningkat secara drastik.
Presiden Persatuan Peminat Golf Malaysia (MFGA), Zulkifli Mohd. Razali berkata, keadaan itu turut memberi kesan negatif kepada ekonomi dan memberi dampak kepada penyumbang, pembekal, kelab golf serta lain-lain industri, termasuk kos operasi persatuan itu.
Justeru, katanya, beliau mengajak semua ahli MFGA untuk terus memberikan sokongan padu dan memperkukuhkan jaringan persatuan melalui semangat kerjasama yang berterusan dalam mengharungi cabaran sepanjang 2026.
“Bagi memastikan kelangsungan dan perkembangan mampan pendanaan MFGA pada masa hadapan, sokongan dan sumbangan diterima amat dihargai khususnya daripada Tourism Malaysia, selain terbuka menerima cadangan serta sumbangan daripada ahli-ahli,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Mesyuarat Tahunan Ke-10 persatuan itu di Kelab Golf Seri Selangor, di sini semalam.
Zulkifli berkata, beliau mewakili Ahli Jawatankuasa MFGA (AJK) 2024-2026, MFGA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli MFGA yang menyokong, menyumbang dan membantu menjayakan pertandingan golf bulanan dengan jayanya.
Katanya, penghargaan turut diberikan kepada ahli jawatankuasa yang bekerja keras memastikan semua aktiviti persatuan dapat dilaksanakan dengan baik sepanjang tahun 2025.
“Jumlah kejohanan dapat dikekalkan sebanyak sembilan kali, manakala purata kehadiran bulanan meningkat daripada 38 orang pada 2024 kepada 60 orang pada 2025.
“Kejohanan Tahunan 2025 turut mencatat rekod penyertaan tertinggi iaitu 136 orang. Syabas semua,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu mencerminkan peningkatan sambutan dan komitmen ahli terhadap aktiviti persatuan sepanjang tahun 2025.
Dalam pada itu, Zulkifli menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk Tourism Malaysia, Bestour EU-US, Fly Dubai, Air Arabia, MAS Awana Services Sdn Bhd, Phoenix, Leonian, Crestlink, AVA Water, kelab-kelab golf, Emirates, Korean Air, MFGA serta lain-lain atas sokongan serta sumbangan diberikan kepada persatuan itu.
Selepas mesyuarat agung MFGA, kejohanan pusingan pertama Piala Presiden 2026 diadakan di Kelab Golf Seri Selangor dengan disertai kira-kira 60 pemain terdiri daripada ahli-ahli MFGA dan tetamu jemputan. – UTUSAN










