LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui kecederaan yang dialami penyerangnya, Hugo Ekitike serius dan berkemungkinan besar menutup tirai musim ini lebih awal.
Ekitike terpaksa diusung keluar ketika Liverpool tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara di Anfield, semalam, sekali gus menyaksikan juara bertahan itu mara ke separuh akhir dengan agregat 4-0.
Dalam perlawanan tersebut, dua jaringan Ousmane Dembele memastikan kemenangan selesa buat wakil Perancis, sekali gus menambah derita buat The Reds yang melalui musim sukar.
Situasi menjadi lebih membimbangkan apabila Ekitike dilihat rebah sambil memegang bahagian bawah kaki kanan, dengan laporan awal menyebut kemungkinan kecederaan tendon Achilles yang koyak.
Slot bagaimanapun enggan membuat sebarang kesimpulan awal mengenai tahap kecederaan tersebut.
“Ia kelihatan sangat serius tetapi sukar untuk saya tentukan tahap sebenar kecederaan itu ketika ini.
“Kami akan melakukan pemeriksaan lanjut esok (hari ini). Namun, secara jujurnya ia tidak nampak baik,” katanya.
Kecederaan tersebut juga boleh menjejaskan peluang Ekitike untuk menyarung jersi Perancis pada kejohanan Piala Dunia akan datang.
Dalam masa sama, Slot turut mengesahkan penyerang Alexander Isak kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan patah kaki yang dialaminya pada Disember lalu.
Liverpool sebelum ini dihimpit pelbagai masalah kecederaan yang menjejaskan prestasi pasukan, sekali gus menyaksikan mereka kini berada di tangga kelima liga dan berdepan kemungkinan menamatkan musim tanpa sebarang trofi.
“Kehilangan pemain bukan perkara baharu bagi kami musim ini, tetapi ia amat sukar untuk diterima, terutama buat pemain itu sendiri.
“Tiada siapa mahu mengalami kecederaan, apatah lagi pada saat-saat penting seperti ini,” kata Slot. – AFP










