Liga M belum 'nazak'- MFL

Liga M belum ‘nazak’- MFL

Mohd Shazli Shaik Mohd
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menafikan dakwaan kononnya kancah bola sepak tempatan kini sedang berada dalam keadaan tenat susulan isu kemelut kewangan yang melanda beberapa buah kelab ketika ini.

​Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd. menegaskan, adalah tidak adil untuk melabelkan Liga Malaysia (Liga M) sedang menuju kemerosotan sedangkan inisiatif pemulihan melalui peraturan ‘Financial Fair Play’ (FFP) baru sahaja berada di peringkat awal.

​Menurut Shazli, musim ini merupakan tahun sulung pelaksanaan FFP di negara ini dan proses penstabilan ekosistem liga memerlukan tempoh yang munasabah sebelum impak sebenar dapat dilihat secara menyeluruh.

​Beliau turut mengambil contoh liga gergasi dunia, La Liga di Sepanyol yang juga terpaksa mengharungi tempoh yang lama untuk kembali sihat dan tersusun semula.

​“Tak ada (liga tenat) kalau melihat kepada pelaksanaan FFP kita ini tahun pertama FPP dilaksanakan. La Liga ambil masa lima tahun untuk betul-betul sihatkan liga mereka.

​“Kita baru tahun pertama, belum habis lagi pun, tetapi kita dapat lihat banyak perkembangan positif daripada pelaksanaan FFP. Jadi bagi saya di MFL, kita tak rasa perkara ini tenat ataupun liga tengah dalam proses ke arah ke belakang,” katanya.

​Mengulas cadangan perbincangan ‘meja bulat’ yang disuarakan beberapa kelab, Shazli menyambut baik hasrat tersebut sebagai platform penambahbaikan struktur liga secara kolektif.

​“Perjumpaan ini sangat baik untuk kita dapat dengar suara kelab dan kita tambah baik perkara-perkara yang disuarakan nanti,” ujarnya.

​Isu ini mula mendapat perhatian selepas Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mencadangkan agar semua pemilik dan pengurusan kelab duduk semeja bagi membincangkan realiti sebenar kewangan dan masa depan liga secara jujur.

​Cadangan tersebut turut mendapat reaksi positif daripada beberapa pasukan termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Penang FC dan Negeri Sembilan FC yang dilaporkan terbuka untuk menyertai perbincangan itu bagi memastikan kelangsungan saingan domestik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN