Legenda 'double treble' Kedah sengsara

Legenda ‘double treble’ Kedah sengsara

Nelson San Martin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda Kedah, Nelson San Martin kini berdepan detik paling sukar dalam hidupnya apabila berdepan masalah kewangan akibat tidak menerima gaji, sehingga memaksanya tampil secara terbuka memohon bantuan.

Bekas tonggak era kegemilangan Kedah pada musim 2007 dan 2008 itu mengakui, beliau sudah lebih dua bulan tidak menerima bayaran sebagai Pengarah Teknikal Kedah Darul Aman FC (KDA FC), sekali gus menjejaskan kelangsungan hidup hariannya di Malaysia.

Menurut Nelson, kali terakhir beliau menerima bayaran hanyalah sebahagian gaji pada 10 Januari lalu, sebelum segala usaha menghubungi pihak pengurusan kelab tidak mendapat sebarang maklum balas.

Situasi itu menjadi semakin mendesak apabila beliau perlu menanggung komitmen sebagai ketua keluarga, termasuk menyediakan keperluan asas serta membayar sewa rumah.

“Saya masih terikat kontrak, tetapi seperti ditinggalkan tanpa komunikasi atau sokongan. Keadaan ini amat sukar untuk saya teruskan kehidupan.

“Saya kini hidup dalam keadaan sangat tertekan. Saya ada tanggungjawab kepada keluarga dan juga berdepan isu undang-undang di Chile yang memerlukan perhatian segera,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dalam keadaan terhimpit, Nelson mengambil langkah berani apabila cuba mendapatkan perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail dengan harapan dapat memperoleh bantuan kewangan atau peluang pekerjaan.

“Bagaimana untuk menghubungi Tuanku?” tulisnya ringkas dalam satu perbualan yang kini tular di media sosial, mencerminkan betapa terdesaknya beliau ketika ini.

Malah, beliau turut berkongsi kod QR Touch ‘n Go eWallet bagi membolehkan penyokong menghulurkan sumbangan, sesuatu yang jarang dilakukan oleh seorang bekas pemain profesional.

Tindakan itu mengundang simpati ramai, dengan peminat bola sepak tempatan menyuarakan kebimbangan terhadap nasib bekas pemain yang pernah menyumbang kepada kejayaan besar Kedah.

Perkembangan ini sekali lagi membuka mata banyak pihak mengenai isu tunggakan gaji dalam bola sepak tempatan yang masih berulang, sehingga memberi kesan besar terhadap kebajikan pemain dan pegawai.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN