Kesilapan sendiri hukum Tang Jie-Ee Wei 

Kesilapan sendiri hukum Tang Jie-Ee Wei 

Chen Tang Jie- Toh Ee Wei kandas di suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui kelemahan sendiri menjadi punca utama tersingkir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China, semalam.

Kekalahan mengejut 19-21, 17-21 di suku akhir kepada pasangan ranking ke-147 dunia dari Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong nyata sukar diterima, apatah lagi mereka turun selaku pilihan keempat kejohanan.

Tang Jie sendiri secara terbuka mengkritik permainannya yang dilihat tidak menjadi sehingga menjejaskan keseluruhan corak permainan bersama Ee Wei.

“Memang secara keseluruhan prestasi saya hari ini kurang baik apabila bulu tangkis yang sepatutnya dimainkan secara agresif menjadi terlalu selamat.

“Manakala bulu tangkis yang sepatutnya mudah pula saya ambil risiko berlebihan sehingga corak permainan (rotation) kami tidak menjadi,” kata Tang Jie.

Dalam aksi tersebut, Tang Jie-Ee Wei bermula baik apabila mendahului set pertama, namun hilang momentum sehingga membenarkan lawan bangkit dan menguasai permainan.

Situasi itu berulang di set kedua apabila pasangan Korea tampil lebih konsisten, sekali gus mendedahkan kelemahan taktikal beregu negara yang gagal menyesuaikan permainan.

Bagaimanapun, Ee Wei pula menafikan faktor kecederaan sebagai alasan, sebaliknya menegaskan mereka turun dengan fokus penuh sepanjang perlawanan.

“Apabila masuk ke gelanggang, saya tidak memikirkan perkara lain dan hanya memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan, malah kecederaan yang dialami juga tidak menjejaskan aksi saya,” katanya.

Untuk rekod, tahun lalu mereka tidak menyertai BAC susulan berpisah sementara manakala pada edisi 2024 mereka tersingkir seawal pusingan pertama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN