PUTRAJAYA: Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) kekal di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sehingga edisi 2028 selepas mendapat kelulusan Kabinet.
Keputusan itu menamatkan spekulasi hala tuju LTdL 2026 yang sebelum ini dilaporkan masih menunggu keputusan muktamad Kabinet walaupun tarikh perlumbaan telah ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kertas Jemaah Menteri telah diangkat dan diluluskan bagi memastikan kesinambungan penganjuran perlumbaan berstatus ProSeries itu di bawah KBS.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman luas kementerian itu selain pengiktirafan antarabangsa yang diterima daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Penganjuran LTdL di bawah KBS untuk tempoh tiga tahun ini telah pun diluluskan dan kita yakin mampu melaksanakan kejohanan ini dengan sebaik mungkin.
“Kita juga telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai antara penganjur terbaik dunia, justeru keyakinan itu menjadi asas untuk kita terus memimpin LTdL,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM12 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi penganjuran edisi tahun ini dengan usaha mendapatkan tajaan tambahan giat dilaksanakan.
Taufiq menjelaskan, walaupun peruntukan tahun ini lebih rendah berbanding RM18 juta sebelum ini, kualiti penganjuran tidak akan terjejas.
“Dengan RM12 juta kita masih mampu melaksanakan LTdL tanpa mengurangkan kualiti dan dalam masa sama kita akan terus membuka ruang kepada penajaan bagi memperkukuhkan penganjuran,” katanya.-UTUSAN










