PARIS: Harry Kane menegaskan semangat juang Bayern Munich mampu menjadi pemangkin kebangkitan menjelang aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara selepas tewas tipis 4-5 kepada Paris Saint-Germain (PSG), semalam.
Dalam pertembungan dramatik di Paris, skuad Bavaria itu dilihat hampir tersingkir apabila tuan rumah meledak dua gol pantas pada awal babak kedua untuk mendahului selesa 5-2.
Namun, Bayern enggan mengalah apabila bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Dayot Upamecano dan Luis Diaz dalam tempoh tiga minit, sekali gus menghidupkan peluang mereka menjelang aksi di Munich minggu depan.
Kane yang membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-17 berkata, perlawanan timbal balik nanti dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang.
“Ia bergantung kepada siapa yang bijak memanfaatkan peluang. Kami akan beraksi di laman sendiri dan sokongan penyokong pasti memberi kelebihan kepada kami,” katanya.
Menurut kapten England itu, Bayern turut mempunyai beberapa peluang untuk menamatkan perlawanan lebih awal, namun kegagalan penyudah menyebabkan mereka terpaksa berdepan tekanan sehingga wisel penamat.
“Bangkit daripada ketinggalan 2-5 di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah. Kami menunjukkan karakter kuat dan masih berada dalam saingan,” katanya.
Kane turut mencipta rekod tersendiri apabila muncul pemain England pertama menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut Liga Juara-Juara, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaringan kepada 13 gol musim ini.
Perlawanan di Paris itu disifatkan sebagai antara yang terbaik dalam sejarah kejohanan apabila muncul aksi separuh akhir dengan jumlah jaringan tertinggi pernah direkodkan.
“Dua pasukan hebat mempamerkan kualiti tinggi, khususnya dalam aspek serangan, transisi dan intensiti permainan. Inilah bola sepak di tahap tertinggi,” kata Kane. – AGENSI










