KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menggesa barisan pemain negara agar tampil lebih berani dan tidak lagi bersandar kepada gandingan utama dalam misi memburu kejayaan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada 7 hingga 12 April ini.
Beliau menegaskan, kejayaan di pentas besar tidak seharusnya bergantung kepada pasangan utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei semata-mata.
Sebaliknya, Rexy mahu setiap pemain yang dibawa ke kejohanan itu memikul tanggungjawab sebagai pencabar gelaran dan bukannya sekadar melengkapkan senarai pasukan.
“Beberapa hari lalu saya kumpulkan semua jurulatih kerana kita sedar negara lain seperti China dan Korea turut menurunkan barisan terbaik mereka.
“Bila kita lihat pemain-pemain lain juga mempunyai potensi, kenapa perlu bergantung kepada pasangan utama sahaja,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara, semalam.
Oleh itu, pengendali dari Indonesia itu mahu setiap pemain membawa prinsip pencabar gelaran dan tidak lagi bersandar kepada reputasi rakan sepasukan yang lebih senior.
“Cara berfikir mereka harus lebih positif. Apa bezanya mereka latihan setiap hari dengan Aaron-Wooi Yik? Faktornya adalah mental. Jangan fikir, ketika ini kita masih ada Aaron-Wooi Yik, itu tidak boleh. Mentaliti harus tegas untuk mencabar kemenangan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan Ee Wei kini sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan bersedia kembali memperkuatkan skuad negara.
“Setakat ini semuanya baik, saya lihat pergerakannya dalam latihan pagi tadi sudah normal dan dia juga mampu melompat, jadi boleh dikatakan hampir pulih sepenuhnya,” katanya lagi.
Selepas mengharungi BAC, skuad negara dijangka pulang seketika sebelum berlepas ke Herning, Denmark pada 14 April ini bagi menjalani kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Thomas dan Uber pada 24 April hinga 3 Mei ini.-UTUSAN










