PARIS: Hasrat Itali untuk kembali ke pentas Piala Dunia sekali lagi musnah apabila tewas kepada Bosnia-Hercegovina menerusi penentuan penalti dalam aksi play-off, semalam manakala Turki, Republik Czech dan Sweden berjaya mengesahkan tempat mereka ke pusingan akhir.
Kekalahan itu menyaksikan skuad Azzurri gagal melayakkan diri buat kali ketiga berturut-turut selepas turut terlepas edisi 2018 dan 2022.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Zenica, kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan sebelum Bosnia menang 4-1 menerusi sepakan penalti.
Gol awal Itali dijaringkan oleh Moise Kean pada minit ke-15, namun situasi berubah apabila Alessandro Bastoni dilayangkan kad merah sebelum separuh masa pertama berakhir.
Kesempatan itu dimanfaatkan Bosnia apabila Haris Tabakovic menyamakan kedudukan pada minit ke-79.
Dalam penentuan penalti, hanya Sandro Tonali berjaya menyempurnakan sepakan buat Itali manakala percubaan Francesco Pio Esposito dan Bryan Cristante gagal menemui sasaran.
Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso menyifatkan kekalahan itu sebagai sesuatu yang sukar diterima.
“Saya tidak fikir pemain layak menerima nasib seperti ini. Ia sangat sukar untuk ditelan,” katanya.
Bosnia yang kini menghuni ranking ke-66 dunia akan membuat penampilan kedua di Piala Dunia selepas kali pertama pada 2014 dan diundi dalam Kumpulan B bersama Kanada, Qatar serta Switzerland.
Sementara itu, Turkiye mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kosovo sekali gus memusnahkan impian skuad kendalian Franco Foda untuk membuat penampilan pertama di Piala Dunia.
Itu merupakan penampilan pertama Turkiye di Piala Dunia sejak layak ke separuh akhir kejohanan itu pada 2002 dan mereka bakal beraksi dalam Kumpulan D Bersama Amerika Syarikat, Paraguay dan Australia.
Sweden pula terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mencipta kemenangan dramatik 3-2 ke atas Poland di Stockholm dan mereka akan beraksi dalam Kumpulan F bersama Belanda, Jepun dan Tunisia.
Republik Czech menewaskan Denmark 3-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sekali gus layak ke Piala Dunia sejak 2006 dan mereka akan menyertai Kumpulan A bersama Afrika Selatan, Korea Selatan dan Mexico. – AFP










