Gattuso diminta kekal bersama Azzurri

Gattuso diminta kekal bersama Azzurri

Gennaro Gattuso
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZENICA: Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso diminta untuk terus kekal mengemudi skuad kebangsaan meskipun pasukan itu gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina sejurus kekalahan Azzurri kepada Bosnia dan Herzegovina dalam aksi play-off, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Zenica, Itali terikat 1-1 sebelum tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus mencatat sejarah hitam sebagai juara dunia pertama yang gagal ke tiga edisi berturut-turut.

“Saya telah meminta Gattuso untuk kekal dan turut meminta Gianluigi Buffon meneruskan peranannya dalam pengurusan bola sepak kebangsaan,” kata Gravina.

Buffon yang kini memegang peranan penting dalam FIGC bertanggungjawab menyelia pasukan senior dan remaja, memaklumkan bahawa dia hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas tamat musim pada Jun ini.

Sementara itu, Gattuso yang jelas kecewa enggan mengulas lanjut mengenai masa depannya sebaliknya menegaskan kegagalan tersebut amat perit untuk diterima.

“Ia sangat menyakitkan. Saya sanggup mengorbankan apa sahaja demi memastikan kami mencapai sasaran,” katanya.

Gattuso, yang merupakan anggota skuad Itali ketika menjulang Piala Dunia 2006 dilantik sebagai ketua jurulatih pada Jun lalu bagi menggantikan Luciano Spalletti yang dipecat.

Dalam perkembangan sama, Gravina menegaskan dia tidak akan meletakkan jawatan walaupun berdepan tekanan hebat namun mengakui kedudukannya akan dibincangkan dalam mesyuarat lembaga FIGC minggu hadapan.

“Kami sedar sedang berdepan krisis yang serius dan ia memerlukan penelitian mendalam, bukan sahaja daripada FIGC tetapi juga pihak berkepentingan lain termasuk ahli politik,” ujarnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN