Bazir peluang punca Malaysia tewas- Cklamovski

Bazir peluang punca Malaysia tewas- Cklamovski

AKSI ketika Harimau Malaya menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan menyempurnakan peluang terhidang di depan gol menjadi punca utama Harimau Malaya tumpas 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin.

​Kekalahan di Stadium Thien Truong, Nam Dinh itu secara rasmi menutup tirai kempen skuad kebangsaan dengan nota duka, selepas impian ke pusingan akhir lebur susulan krisis pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain sebelum ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menegaskan, keputusan perlawanan menentang skuad Naga Emas itu mungkin memihak kepada Malaysia sekiranya jentera serangan lebih klinikal menyudahkan peluang.

​Bagaimanapun, pengendali kelahiran Australia itu enggan menunding jari kepada mana-mana individu, sebaliknya menyifatkan anak buahnya telah mempamerkan mentaliti juara serta semangat juang luar biasa.

​”Walaupun kami bolos awal, pemain memberikan reaksi yang sangat positif. Kami mencipta empat atau lima peluang keemasan yang mampu mengubah skrip perlawanan jika ia diterjemahkan kepada jaringan.

​”Vietnam adalah pasukan berkualiti, ditambah dengan kehadiran pemain naturalisasi dari Brazil. Namun, sebagai pasukan pelawat yang mampu mendominasi permainan dan mencipta peluang sebegitu, saya sangat bangga dengan mereka,” katanya.

​Mengulas mengenai kemelut luar padang yang melanda pasukan sejak enam bulan lalu, Cklamovski menyifatkan kecekalan pemainnya sebagai satu inspirasi.

Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, selepas kehilangan enam mata berharga susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membatalkan kemenangan ke atas Vietnam dan Nepal susulan isu integriti dokumen pemain.

​”Jika diukur dari segi merit di atas padang, kita sememangnya layak untuk mara. Namun, situasi di luar padang (keputusan AFC) ternyata menyakitkan kami.

“Mereka berjuang demi keluarga, negara dan generasi akan datang. Walaupun terpaksa melupakan Piala Asia 2027, semangat yang ditunjukkan pemain dalam stadium yang penuh dengan penyokong lawan adalah sesuatu yang istimewa buat Malaysia,” tambahnya.

Kekalahan itu menyaksikan Vietnam muncul juara Kumpulan F dengan rekod kemenangan bersih 18 mata, sekali gus mengesahkan slot ke Arab Saudi tahun depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN