AZ Alkmaar juara Piala Belanda

AZ Alkmaar juara Piala Belanda

Pemain AZ Alkmaar meraikan kejayaan bersama trofi selepas menjuarai final Piala Belanda menewaskan NEC Nijmegen di Stadium De Kuip, Rotterdam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROTTERDAM: AZ Alkmaar mempamerkan aksi penuh bergaya untuk menamatkan kemarau kejuaraan apabila membelasah NEC Nijmegen 5-1 dalam final Piala Belanda di Stadium Feyenoord, sekali gus menutup malam gemilang buat skuad itu.

Dominasi AZ mula terserlah seawal babak pertama apabila bek kiri, Mees de Wit, bijak menyudahkan peluang pada minit ke-32 hasil gerakan pantas di sebelah kiri yang mencarik pertahanan lawan.

Selepas rehat, tempo permainan jelas memihak kepada AZ. Sven Mijnans menggandakan kelebihan pada minit ke-67 sebelum Peer Koopmeiners menambah jaringan ketiga hanya enam minit kemudian, sekali gus meranapkan harapan NEC untuk bangkit.

NEC cuba menghidupkan semula perlawanan menerusi jaringan Koki Ogawa pada minit ke-78, namun gol tersebut sekadar kosmetik dalam aksi yang jelas dikuasai AZ.

AZ hampir menambah derita lawan apabila Mijnans sekali lagi menemui sasaran di penghujung perlawanan, namun jaringan itu dibatalkan akibat ofsaid.

Tidak cukup dengan itu, pemain muda sensasi, Kees Smit, mencuri tumpuan apabila menjadikan kedudukan 4-1 dalam masa kecederaan menerusi lambungan kemas yang menewaskan penjaga gol berpengalaman, Jasper Cillessen.

Malam cemerlang AZ disempurnakan oleh Troy Parrott yang meledak gol kelima pada minit akhir masa kecederaan, memastikan kemenangan besar dan penuh bergaya.

Kejayaan ini menyaksikan AZ menjulang Piala Belanda buat kali kelima dalam sejarah kelab, selain menamatkan penantian selama 13 tahun untuk kembali bergelar juara.

Lebih manis, kemenangan itu turut menghadiahkan tiket ke saingan Liga Europa musim depan, sekali gus menebus kekecewaan selepas tersingkir di pentas Eropah sebelum ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN