PETALING JAYA: Kuching City FC bersedia memberikan cabaran dan mengutip tiga mata penuh apabila berkunjung ke Stadium Bandaraya untuk berdepan Penang FC dalam saingan Liga Super, malam ini.
Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak mengakui pasukannya berdepan jadual padat serta kekangan tenaga pemain dalam bulan Ramadan, namun semua itu akan diketepikan demi meneruskan momentum kemenangan.
Katanya, perlawanan menentang anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail dijangka tidak mudah buat pasukannya yang kini dalam misi memburu kedudukan naib juara liga super.
“Penang pasti mahu membuktikan sesuatu selepas tewas kepada kami sebelum ini. Jadi kami perlu ‘reset’ semula dan harap tiada pemain mengalami kecederaan selepas perlawanan ini.
“Matlamat kami tetap sama, pergi ke sana dengan satu mentaliti sahaja iaitu untuk menang,” katanya.
Beliau juga menegaskan aksi di tempat lawan sentiasa memberi cabaran kepada pasukan, terutama dari segi pengurusan perjalanan, waktu rehat serta tahap kecergasan pemain yang berpuasa.
“Bukan mudah kerana setiap kali bermain di tempat lawan, kita perlu mengurus perjalanan, penginapan dan waktu rehat pemain.
“Dalam bulan puasa pula, pemain tidak melakukan aktiviti sepanjang hari kerana berpuasa, jadi tahap tenaga mereka memang berbeza,” katanya.
Tambah Aidil, faktor itu juga memaksanya membuat sedikit pelarasan taktikal dengan mengehadkan bilangan pemain yang berpuasa berada di atas padang pada satu-satu masa.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pasukan kekal kompetitif sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya tidak boleh menurunkan empat atau lima pemain Muslim serentak kerana mereka berpuasa dan tenaga mereka pasti berkurang,” katanya.-UTUSAN










