PETALING JAYA: Taktikal ‘bola mati’ Kuala Lumpur(KL) City FC bakal menjadi ancaman buat Selangor FC dalam aksi panas di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, skuad kendalian Kim Pan Gon perlu berwaspada dalam situasi ‘bola mati’, yang mampu memberi tekanan kepada Selangor.
“Corak permainan Selangor menjadi asas penting untuk menyerap tekanan tuan rumah. Kami juga melihat situasi ‘set piece’ lawan boleh beri ancaman,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut Mahfizul, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing selepas keputusan seri dalam perlawanan terdahulu.
Justeru katanya, Gergasi Merah telah merangka perancangan taktikal yang rapi bagi menguasai permainan untuk meraih kemenangan dan mengutip tiga mata penuh.
“Momentum sedia ada akan digunakan sebaik mungkin untuk menghadapi KL City. Kami akan cuba memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan.
“Tiga mata esok malam dianggap amat penting bagi memastikan sasaran musim 25/26 tercapai, walaupun baki perlawanan masih menanti sebelum liga berakhir pada Mei.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh penyokong hadir di stadium untuk memberi sokongan padu dan semangat kepada skuad kebanggaan negeri itu.
“Dengan sokongan peminat, kami yakin mampu memberikan persembahan terbaik dan membawa pulang kemenangan,” katanya.
Pada aksi pertama di MBPJ, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sekaligus menjadikan aksi derbi Lembah Klang ini cukup menarik bagi mengukuhkan kedudukan naib juara liga.-UTUSAN










