BUKIT MERTAJAM: Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) khususnya yang menuju ke utara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri diminta memuat turun aplikasi ‘JustGO Malaysia’ bagi melancarkan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Pengurus Wilayah Utara PLUS, Mahadzir Maso’d berkata, penggunaan aplikasi itu merupakan sebahagian alternatif untuk mengelakkan kesesakan di plaza tol.
“Apabila mereka (pengguna) mendaftar dengan aplikasi ini, mereka bebas untuk keluar masuk mana-mana plaza tol sama ada Touch n’ Go, SmartTAG atau RFID (pengenalan frekuensi radio).
“Saya melihat, sambutan yang diterima setakat ini adalah begitu menggalakkan terutamanya menjelang musim perayaan seperti ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Pada bulan lalu, JustGO Malaysia merekodkan hampir 200,000 muat turun selepas pelancaran rasmi sistem pembayaran tol terbuka berasaskan pengecaman nombor plat automatik (ANPR).
Sistem itu melibatkan projek rintis yang bermula di jajaran Hutan Kampung, Kedah sehingga ke Sungai Dua di Pulau Pinang yang secara keseluruhannya melibatkan sembilan plaza tol dengan jarak hampir 88 kilometer (km).
Mahadzir ditemui pada Program Kesedaran Penunggangan Selamat: Kepulangan Yang Dinanti berhampiran Plaza Tol Juru Arah Utara dekat sini.
Mahadzir berkata, daripada anggaran 2.3 juta kenderaan yang aka menggunakan PLUS ketika lebaran, 800,000 sehingga satu juta kenderaan dijangka menghala ke utara bermula Rabu ini. – UTUSAN









