LONDON: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui berasa lega selepas The Reds kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Wolves 3-1 dalam aksi pusingan kelima Piala FA, kelmarin.
Kemenangan tersebut hadir hanya tiga hari selepas The Reds mengalami kekalahan memalukan 2-1 kepada lawan sama dalam saingan liga sekali gus menamatkan tekanan yang mula memuncak terhadap pengendali dari Belanda itu.
Tiga jaringan Liverpool dihasilkan oleh Andrew Robertson, Mohamed Salah dan Curtis Jones yang memastikan pasukan itu mara ke suku akhir.
Slot berkata, keputusan tersebut memberi kelegaan besar kepadanya selepas melalui musim yang tidak menentu bersama Liverpool.
“Setiap tiga hari perasaan saya berubah. Tiga hari lalu perasaan saya sangat berbeza berbanding sekarang.
“Kami gembira dapat mara ke suku akhir Piala FA dan dalam beberapa hari lagi kami akan berdepan satu lagi perlawanan besar di Istanbul,” katanya.
Liverpool kini berada di tangga keenam liga namun masih berpeluang memburu dua trofi musim ini iaitu Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Pasukan itu dijadual bertemu Galatasaray di Istanbul dalam aksi pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara pada Selasa ini. – AFP










