INDIAN WELLS: Bintang tenis Itali, Jannik Sinner merangkul gelaran sulung ATP Masters 1000 Indian Wells selepas menewaskan Daniil Medvedev 7-6 (8/6), 7-6 (7/4), semalam.
Pemain No.2 dunia itu meraih trofi pertamanya bagi musim 2026 selepas bangkit daripada ketinggalan 0-4 pada tie-break set kedua untuk memastikan kemenangan ke atas Medvedev.
Pemenang empat gelaran Grand Slam itu hadir dengan prestasi terbaik selepas menjuarai kejohanan di Dubai bulan lalu dan memegang rekod sembilan kemenangan berturut-turut dalam Jelajah ATP.
Sebelum itu, Medvedev melangkah ke final selepas melakar kejutan ke atas Carlos Alcaraz pada separuh akhir yang menamatkan rekod 16 kemenangan berturut-turut pemain No.1 dunia dari Sepanyol itu pada awal musim.
Namun, Sinner yang tidak kalah sebarang set sepanjang kejohanan membuktikan keunggulannya dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua set ditentukan menerusi tie-break tanpa sebarang ‘break’ servis.
“Saya kekal percaya dan terus menekan lawan untuk memastikan kemenangan menjadi milik saya.
“Saya lebih berani melakukan pukulan. Jika masuk set ketiga, kami akan bermula semula dengan kedudukan seimbang, jadi saya cuba sedaya upaya menamatkannya lebih awal dan saya amat gembira.
“Ia satu penamat yang luar biasa,” kata Sinner mengenai kebangkitannya pada hujung perlawanan.
Pada perlawanan selama satu jam 55 minit itu, Sinner tidak menghadapi sebarang peluang ‘break point’ sambil memenangi 43 daripada 47 mata apabila servis pertamanya masuk.
Kemenangan itu turut menyaksikan Sinner menyertai Novak Djokovic dan Roger Federer sebagai pemain yang pernah memenangi semua enam kejohanan ATP Masters 1000 di permukaan gelanggang keras.
Medvedev yang tewas kepada Alcaraz pada final Indian Wells 2023 dan 2024 pula terlepas peluang muncul pemain kedua menewaskan Alcaraz dan Sinner pada kejohanan sama. – AGENSI










