PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kes tiga lelaki maut akibat renjatan elektrik dipercayai semasa cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang di Taman Rapat Perdana, di Ipoh, semalam.
TNB berkata, pihaknya digerakkan ke tempat kejadian telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak PDRM serta ST bagi menjalankan siasatan lanjut.
Dalam pada itu TNB mengingatkan orang ramai bahawa tiang, kabel dan talian elektrik adalah berbahaya serta tidak boleh disentuh atau diceroboh oleh mana-mana pihak.
“Sebarang perbuatan mengganggu atau merosakkan pepasangan elektrik bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko renjatan elektrik yang boleh membawa maut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, TNB menasihatkan orang ramai supaya menjauhi pepasangan elektrik dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa atau TNB bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati semua lelaki berusia antara 35 hingga 50 tahun itu sudah meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik semasa cuba memotong kabel pada tiang milik TNB.
HABIS









