PETALING JAYA: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli akan memulakan aksinya dari petak ke-15 dalam perlumbaan Moto3 pada saingan pembukaan musim di Grand Prix Motosikal Thailand, Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.
Bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, anak muda berusia 18 tahun itu melakar masa sepusingan 1 minit 41.761 saat (s) sewaktu sesi kelayakan 2 (Q2).
Sebelum itu, Hakim Danish yang terpaksa bersaing dalam kelayakan 1 (Q1) ekoran catatan masanya pada sesi latihan bebas kurang memberangsangkan, berjaya mencipta masa terpantas dengan lakaran 1:41.476s.
Pelumba Sepanyol, David Almansa yang mewakili pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP mengungguli saingan Q2 dengan ciptaan masa sepusingan 1:40.088s dan sekali gus, akan memulakan perlumbaan di petak pertama.
Berada di petak kedua dan ketiga pula menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe (1:40.518s) serta Adrian Fernandez (1:40.518s) dari pasukan Leopard Racing.
Sebagai pendatang baharu dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, keputusan yang dicatat Hakim Danish boleh dianggap baik dan meletakkan jentera KTM yang dipacunya berada di kedudukan kompetitif untuk mengejar kelompok pelumba hadapan pada perlumbaan, hari ini.
Dengan musim 2026 baru sahaja membuka tirai, amat penting buat Hakim Danish memastikan dirinya berada dalam kelompok kutipan mata terlebih dahulu sebelum mengimpikan keputusan podium.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan podium untuk anak jati Terengganu itu pada pusingan pertama di Buriram bagi mengelak sebarang tekanan kepada Hakim Danish.
“Cukup setakat dia mampu bersaing secara kompetitif dan mengutip mata penting dalam perlumbaan pertama.
“Untuk podium, kita meletakkan satu keputusan podium bagi musim ini dan harap Hakim Danish dapat berbuat demikian apabila tiba masanya nanti,” katanya.-UTUSAN










