Misi besar Tang Jie-Ee Wei padam kemarau 19 tahun

Misi besar Tang Jie-Ee Wei padam kemarau 19 tahun

Chen Tang Jie- Toh Ee Wei menjadi harapan negara dalam Kejohanan Badminton All England 2026 yang bermula malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasangan No. 1 negara, Chen Tang Jie- Toh Ee Wei mempunyai misi besar untuk mengakhiri kemarau 19 tahun Malaysia dalam acara beregu campuran di kejohanan All England 2026 yang membuka tirai, malam ini.

Kali terakhir Malaysia menjulang trofi beregu campuran di All England adalah pada 2007 menerusi legenda negara, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty dan sejak itu percubaan demi percubaan berakhir dengan kekecewaan.

Pada edisi kali ini, Tang Jie-Ee Wei turun dengan status juara dunia 2025 serta reputasi sebagai antara gandingan paling konsisten pada musim lalu dalam usaha menamatkan kemarau hampir dua dekad Malaysia bagi acara tersebut.

Cabaran pertama Tang Jie–Ee Wei hadir daripada pasangan Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk yang terkenal dengan corak permainan pantas serta berani mengambil risiko di pentas Eropah.

Walaupun tiada rekod pertemuan sebelum ini, pengalaman beraksi di kejohanan besar memberi kelebihan psikologi buat wakil negara yang sudah beberapa kali membuktikan kemampuan menundukkan lawan ranking lebih tinggi.

Menurut Ee Wei, dia memberikan fokus cukup tinggi untuk mengharungi cabaran di All England, termasuk mengelak dirinya berdepan gangguan kecederaan.

“Saya harap persiapan dapat dimaksimumkan tanpa sebarang kecederaan sebelum turun beraksi di All England,” kata Ee Wei.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah mana-mana lawan meskipun berstatus pilihan.

Dengan tempoh persiapan yang lebih panjang, Nova berharap Tang Jie-Ee Wei mampu mempamerkan aksi lebih mantap di Seluruh England, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi lalu.

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei belum pernah melepasi peringkat suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu, dengan pencapaian terbaik mereka setakat mara sehingga pusingan kedua.

“Kami tak mahu letakkan sasaran terlalu tinggi seperti muncul juara, namun mereka perlu menghasilkan keputusan yang baik. Tahun lalu kita juga harapkan mereka dapat beri keputusan yang bagus, tetapi akhirnya tersingkir seawal pusingan pertama.

“Inilah realiti sukan badminton. Pemain perlu memberi fokus bermula di pusingan pertama lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN