Maruah Malaysia jadi taruhan

Maruah Malaysia jadi taruhan

FAISAL Halim (kiri) dan Safawi Rasid menjadi harapan negara untuk merobek gawang Vietnam, malam ini.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun sekadar aksi pelengkap jadual, maruah bola sepak negara kini menjadi pertaruhan ketika skuad Harimau Malaya turun menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam ini.

​Aksi ini bukan sekadar memburu tiga mata, sebaliknya membawa misi pembersihan imej selepas landskap bola sepak tempatan digegar skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan yang mencetuskan polemik antarabangsa, baru-baru ini.

​Kemenangan besar 4-0 ke atas skuad Naga Emas di Bukit Jalil pada 10 Jun tahun lalu yang sepatutnya diraikan sebagai kejayaan gemilang, akhirnya bertukar menjadi ‘titik hitam’ paling gelap dalam sejarah bola sepak Malaysia.

​Susulan laporan rasmi Vietnam kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), badan induk dunia itu mengesahkan berlaku pelanggaran serius, sekali gus menyaksikan Malaysia dijatuhkan hukuman berat yang turut meleburkan impian ke Arab Saudi.

​Keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 secara teknikal dalam aksi menentang Vietnam dan Nepal sebelum ini, secara rasmi menutup pintu buat Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2027.

​Justeru, pertembungan di Nam Dinh malam ini adalah medan terbaik buat barisan pemain tempatan membuktikan bahawa kualiti bola sepak Malaysia tidak bersandar kepada ‘dokumen palsu’, sebaliknya berpaksikan bakat dan keringat sebenar di atas padang.

​Ketiadaan tujuh tonggak warisan tersebut kini meletakkan beban berat di bahu pengendali negara, Peter Cklamovski untuk merencana taktikal terbaik bagi meleburkan badi 12 tahun tanpa kemenangan ke atas Vietnam.

​Kemenangan malam ini bukan sahaja mampu menjadi pengubat duka peminat tegar bola sepak tanah air, malah ia akan menjadi isyarat jelas bahawa maruah Harimau Malaya tetap tidak boleh dijual beli meskipun dalam keadaan tersungkur.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN